SPT tambah sebuah lagi PPV

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah lagi pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang mula beroperasi 9 Ogos ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pusat telah meluluskan cadangan serta permohonan Pulau Pinang berhubung pembukaan PPV Vangohh Eminent Hotel & Spa bagi meningkatkan kadar vaksinasi di SPT.

Menurutnya, melalui pembukaan PPV itu menjadikan jumlah keseluruhan PPV di daerah berkenaan sebanyak empat selepas SP Arena, Tapak Ekspo Seberang Jaya dan PPV One Hope Charity di Juru.

"Dijangka kapasiti suntikan harian di PPV baharu itu sebanyak 2,000 menjadikan 4,800 dos suntikan harian akan dicapai dengan pengoperasian penuh empat PPV berkenaan.

"Bagi keseluruhan suntikan dos pertama dan kedua, Pulau Pinang merupakan enam negeri terbaik dengan jumlah 1.1 juta (dos petama sebanyak 786,878 dan dos kedua 313,195) berbanding pencapaian lima negeri teratas yang memperoleh ‘perhatian khas’ berdasarkan analisis risiko serta situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, dari segi jumlah populasi pula, Pulau Pinang berada di kedudukan enam teratas bagi suntikan dos pertama dengan 44.4 peratus iaitu melebihi kadar peratusan kebangsaan 44.3 peratus manakala bagi dos kedua 17.7 peratus.

"Peratusan populasi dewasa, suntikan dos pertama mencatatkan 57.6 peratus dengan kedudukan enam terbaik. Peratusan dos kedua kini berjumlah 22.9 peratus dan banyak bergantung kepada bekalan vaksin yang dibekalkan.

"Bekalan vaksin bagi Pulau Pinang hanya mula bertambah pada Julai lalu dan kita berharap stok bekalan tidak akan dikurangkan pada bulan ini. (Ogos 2021)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kon Yeow memberitahu, sehingga kini, kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) masih belum dimaklumkan berhubung jumlah bekalan vaksin yang bakal tiba pada minggu kedua bulan ini dan bulan seterusnya," katanya.

Tambah beliau, kadar vaksinasi bagi dos kedua akan mula meningkat pada minggu hadapan apabila mereka yang menerima vaksin jenis AstraZeneca (AZ) dan beberapa PPV di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) memulakan suntikan dos kedua.

Ujarnya, ia bagi membolehkan Pulau Pinang mencapai kadar vaksinasi 40 peratus dan seterusnya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).