X

Kindly register in order to view this article
!

Kementerian Pertahanan tingkat sistem keselamatan siber

Gambar hiasan- Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan berusaha mempertingkatkan sistem keselamatan sibernya bagi menangkis sebarang bentuk ancaman siber yang kian meningkat pada masa ini sekali gus mampu menggugat sistem keselamatan negara.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata, sebanyak 3,647 laporan insiden keselamatan siber direkodkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini melibatkan antaranya penipuan dalam talian, pencerobohan dan kod jahat, dengan pihak kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima kesannya.

“Oleh itu, kami telah meningkatkan sistem keselamatan dan hanya sumber yang berautoriti sahaja dibenarkan memuat naik bahan yang telah diluluskan (di media sosial milik Kementerian Pertahanan),” katanya semasa berucap pada Majlis Pemerkasaan Media Sosial Rasmi Kementerian Pertahanan yang diadakan secara maya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Pertahanan.

Muez berkata, seperti sedia maklum, Kementerian Pertahanan dan ATM mempunyai isu-isu sensitif melibatkan aset dan sebagainya, sehubungan itu pihak berkenaan digalakkan agar menyemak segala fakta dan berhati-hati dalam penyebaran sebarang maklumat.

"Adalah penting setiap maklumat yang dimuat naik perlu terlebih dahulu melalui tapisan keselamatan dan mendapat kelulusan bagi memastikan ia tepat, sahih dan benar,” katanya.

"Trend perkongsian dan penyebaran maklumat kini semakin meluas membuatkan lebih mudah terdedah kepada isu-isu keselamatan, ketirisan maklumat, perkongsian berita palsu serta penyebaran sumber yang kurang tepat dan sahih," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan warga kementerian itu agar tidak terjebak dengan penularan berita palsu sama ada melalui aplikasi WhatsApp, khidmat pesanan ringkas mahupun memberi komen negatif di media sosial.

“Kementerian tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas warga Pertahanan yang terlibat.

"Suka untuk saya ingatkan bahawa, sebagai penjawat awam dan ATM kita tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 serta Akta Angkatan Tentera 1972," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!