Azizulhasni kini jadi tumpuan

Azizulhasni diletakkan sebagai prospek pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Azizulhasni diletakkan sebagai prospek pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A
A

TUMPUAN rakyat Malaysia ketika ini bakal terarah kepada jaguh berbasikal trek Datuk Azizulhasni Awang yang akan memulakan kayuhannya dalam acara pecut individu Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, pada Rabu.

Selepas satu pingat gangsa diraih setakat ini, harapan mula disandarkan kepada Azizulhasni untuk menghadirkan kilauan emas pertama Sukan Olimpik kepada kontinjen Malaysia.

Bagi Azizulhasni atau lebih dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman, dia sendiri teruja untuk memulakan pemburuan emas tersebut dan meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya.

"Ini adalah Olimpik keempat dan saya sangat teruja jika dibandingkan dengan sebelum ini. Saya melihat ke hadapan dan bersiap sedia untuk perlumbaan. Saya harap rakyat Malaysia boleh doakan kejayaan saya.

"Insya-ALLAH saya dan rakan sepasukan dekat sini (Tokyo) akan buat yang terbaik, lebih daripada yang terbaik yang kita boleh lakukan. Segala persiapan sudah kita lakukan dengan terbaik, semuanya berjalan dengan lancar.

"Hanya tinggal waktu untuk kita letakkan semuanya pada hari perlumbaan nanti. Harap dengan doa seluruh rakyat Malaysia, semua dapat berjalan dengan lancar dan kita dapat merealisasikan impian pingat emas itu, Insya-ALLAH," katanya.

Azizulhasni diletakkan antara penyumbang pingat dengan emas menjadi tumpuan utama selepas pelbagai persediaan skuad lumba basikal trek negara bagi menghadapi temasya Olimpik kali ini.

Selain Azizulhasni yang meraih gangsa acara keirin pada Olimpik Rio 2016, skuad lumba basikal trek negara turut menyandarkan harapan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Artikel Berkaitan:

"Semuanya berjalan dengan lancar. Pihak penganjur juga dah menyiapkan trek dan polish dengan baik menjadikan trek itu licin dan lancar semasa mengayuh. Jadi saya teruja untuk berlumba," ujar Shah Firdaus.