AMLATFPUAA dikuatkuasa bendung penyelewengan LPG

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dikuatkuasakan bagi membendung aktiviti penyelewengan pemindahan gas petroleum cecair (LPG).

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KPDNHEP, Azman Adam berkata, penguatkuasaan akta tersebut merupakan tindakan tegas kerajaan terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perdagangan tidak mengikut undang-undang dan memanipulasi keuntungan diperoleh hasil daripada aktiviti perdagangan tidak sah.

"Penguatkuasaan pengubahan wang haram ini memfokuskan kepada kes-kes profil tinggi seperti perlindungan harta intelek, penyelewengan barang kawalan melibatkan LPG, minyak masak, diesel dan petrol serta aktiviti jualan langsung atau skim piramid yang menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, seiring dengan penguatkuasaan pencegahan pengubahan wang haram, beberapa tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang berkaitan dengan kesalahan predikat di dalam Jadual Kedua AMLATFPUAA 2001 telah dihasilkan terhadap aktiviti 'decanting' ke tong 50 kg (kegunaan industri) dan tin gas untuk kegunaan dapur portable 230g termasuk dua kes terbaharu yang melibatkan sitaan LPG di Seri Kembangan, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Hukuman ke atas mana-mana orang yang melakukan kesalahan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 apabila disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh sehingga 15 tahun dan juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5,000,000, yang mana yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi Gas Petroleum cecair (LPG) telah menghasilkan sejumlah 16 kes dari tahun 2016 hingga 2021 dengan nilai pembekuan RM48,131,041.96, nilai penyitaan RM21,474,456.05 dan seterusnya pelucuthakan hasil pengubahan wang haram bernilai RM1,154,432.43.

"KPDNHEP juga akan membuat penambahbaikan ke atas regim pelesenan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam usaha untuk mengekang penyelewengan LPG melibatkan aktiviti 'decanting' daripada tong 14kg kepada tong 50kg (industri)," katanya.

Azman berkata, KPDNHEP komited mempergiatkan penguatkuasaan pengubahan wang haram bagi tujuan membanteras aktiviti jenayah perdagangan ke peringkat akar umbi terutama kes-kes yang dikategorikan sebagai bersindiket dan terancang yang mungkin boleh membawa gangguan bekalan serta menggugat kestabilan serta ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP demi kepentingan kemakmuran perdagangan domestik dan pengguna," katanya.