Tak dapat wang, cucu ugut nenek dengan parang

Suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh neneknya.
Suspek ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh neneknya.
A
A
A

BEAUFORT - Hanya kerana permintaan tidak dipenuhi, seorang lelaki tergamak mengugut neneknya dengan parang dalam kejadian di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian jam 8 pagi, lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan meminta wang daripada neneknya, namun tidak dipenuhi lalu menyebabkan dia berang serta bertindak menjerit ingin membunuh wanita berusia 71 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, suspek dan neneknya tinggal bersama di kampung itu.

"Siasatan juga mendapati sebelum ini, suspek pernah mengamuk selepas tidak diberikan wang dan bertindak menetak dinding rumah serta tangga dapur.

"Suspek juga dikatakan mahu membunuh orang. Susulan kejadian itu, neneknya membuat laporan di Balai Polis Kuala Penyu, jam 12.26 tengah hari, semalam (Isnin)," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Yusoff Zaki berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort ke lokasi kejadian.

"Suspek diberkas anggota dari Balai Polis Kuala Penyu sebelum diserahkan kepada anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan: