Lebih sebulan pujuk ibu suntik vaksin

Mohd Mukhwim (kiri) menemani ibunya, Raudah menerima suntikan vaksin secara 'walk in' di PPV Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru pada Selasa.
Mohd Mukhwim (kiri) menemani ibunya, Raudah menerima suntikan vaksin secara 'walk in' di PPV Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Usaha memujuk ibu tersayang selama lebih sebulan berbaloi apabila wanita berkenaan akhirnya bersetuju untuk menerima suntikan Covid-19 dos pertama secara terus atau 'walk-in' pada Selasa.

Mohd Mukhwim Maghribi, 40 berkata, dia tidak memaksa ibunya, Raudah Hassan, 67, sebaliknya memberi masa kepada warga emas itu untuk membuat keputusan.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ibunya bersetuju untuk hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Spice, Bayan Baru di sini bagi mendapatkan suntikan secara 'walk-in'.

"Ibu takut untuk terima vaksin sebelum ini kerana membaca pelbagai maklum balas di media sosial seperti di Facebook dan WhatsApp. Dia bimbang, jika berlaku apa-apa kepadanya, bagaimana dia nak jaga bapa saya yang sedang terlantar kerana serangan angin ahmar.

"Di atas sebab itu, saya dan adik beradik lain tidak memaksa sebaliknya memberi ibu masa untuk berfikir. Syukur akhirnya ibu bersetuju untuk hadir hari ini dan dia sudah selesai untuk dos pertama," katanya ketika ditemui di PPV Pusat Konvensyen Spice di sini pada Selasa.

Dia yang bekerja sebagai Ketua Penolong Pendaftar Pusat Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, inisiatif PPV secara 'walk in' untuk warga emas amat mudah dan selesa bagi membantu mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Raudah yang tinggal di Jelutong berkata, dia terbuka hati untuk menerima vaksin selepas suaminya, Maghribi Hassan, 68, telah divaksin di Hospital Pulau Pinang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Warga emas yang hadir di PPV di Pusat Konvensyen Spice untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' yang bermula pada Selasa.
Warga emas yang hadir di PPV di Pusat Konvensyen Spice untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' yang bermula pada Selasa.

"Saya memang takut, bimbang jika apa-apa jadi dekat saya. Namun selepas melihat keadaan suami, saya ambil keputusan untuk divaksin juga.

"Selain itu, saya fikir juga, jika saya tidak ambil vaksin, bimbang apa-apa berlaku pula sebab saya yang menjaga suami ketika anak-anak keluar bekerja," katanya.

Bagi K Thiruvarasu, 61, dia tidak menyedari belum mendaftar suntikan vaksin di aplikasi MySejahtera selepas adiknya berjanji untuk mendaftar bagi dirinya.

"Saya ingatkan saya sudah daftar, tetapi apabila saya tanya adik pada minggu lalu, dia cakap belum daftar (untuk saya). Selepas rakan beritahu ada PPV 'walk-in' untuk warga emas, saya ambil peluang ini untuk vaksin.

"Walaupun ramai yang datang, tetapi petugas di sini bagus, mereka cekap buat kerja. Lega rasanya selepas dapat suntikan pertama vaksin walaupun pada mulanya bimbang juga sebab saya ada penyakit darah tinggi dan masalah saraf," katanya.

Sementara itu, Pengurus PPV Pusat Konvensyen Spice, Dr Norhashimah Ismail berkata, sambutan pada hari pertama pembukaan PPV secara 'walk ini' untuk warga emas amat di luar jangkaan.

Katanya, PPV di situ menyediakan 500 hingga 600 dos untuk warga emas yang hadir secara 'walk in'.

"Sambutan pada hari pertama amat luar biasa, sehingga pagi tadi, kira-kira 160 warga emas yang hadir. Kita tidak jangka seramai itu, namun jika keperluan bertambah kita akan tambah dos vaksin berdasarkan permintaan orang ramai.

"Sedikit masalah timbul pagi tadi kerana ada anak-anak yang 'bawa dan tinggal' ibu atau bapa mereka tanpa menguruskan mereka. Ada yang tiada aplikasi MySejahtera dan sebagainya.

"Perkara-perkara seperti ini yang membuatkan pengurusan pendaftaran sedikit lambat kerana waris warga emas ini tiada di sisi mereka. Bagaimanapun masalah itu dapat diatasi dengan baik oleh petugas di sini," katanya.