PTP catat pertumbuhan tertinggi dunia

Ka Siong (kanan) meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri, pada Selasa.
Ka Siong (kanan) meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri, pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi di dunia berdasarkan senarai 20 pelabuhan terkemuka dunia tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kadar pertumbuhan tertinggi itu membantu menganjakkan kedudukan PTP daripada 18 ke kedudukan 15 dalam senarai pelabuhan terbaik di dunia.

Justeru, beliau berkata, dengan kadar pertumbuhan terbabit dijangkakan PTP mampu mencapai pertumbuhan dua digit tahun ini.

"Saya ada keyakinan bahawa tahun ini, kadar pertumbuhan PTP dijangka lebih baik. Kalau tahun lalu PTP mengendalikan 9.8 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dan tahun ini mampu hampir ke 11 juta TEU.

"Satu peningkatan dua digit yang kita bakal saksikan menjelang hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi Sektor Pengangkutan Maritim dan Logistik, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri mula beroperasi, pada Selasa.
Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelabuhan Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri mula beroperasi, pada Selasa.

Ka Siong berkata, PTP mencatatkan kadar pertumbuhan mengkagumkan iaitu 8.5 peratus meskipun berdepan pandemik Covid-19.

"Ia merupakan satu pencapaian yang mengkagumkan apabila PTP menjadi satu pelabuhan yang berkembang maju dengan kadar pertumbuhan tertinggi tahun lalu.

"Selain China, Malaysia satu-satunya negara Asia yang mempunyai dua pelabuhan iaitu PTP dan Pelabuhan Klang yang disenaraikan dalam senarai 20 pelabuhan terbaik dunia," katanya.

Sementara itu, seramai 27,000 individu termasuk pekerja dan pihak berkepentingan dalam sektor industri termasuk sektor maritim dan logistik di negeri ini disasarkan menerima vaksin menerusi pembukaan PPVIN PTP yang mula beroperasi pada Selasa hingga 11 Oktober depan.

Kementerian Pengangkutan juga telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuka PPVIN tambahan untuk sektor pengangkutan di Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor.