Tujuh parit dibina halang ceroboh HSK Batu Talam

Tujuh parit dibina di kawasan HSK Batu Talam bagi mengelak aktiviti pertanian di kawasan terbabit berulang.
Tujuh parit dibina di kawasan HSK Batu Talam bagi mengelak aktiviti pertanian di kawasan terbabit berulang.
A
A
A

KUANTAN - Tujuh parit sepanjang 0.9 meter dengan lebar 1.52 meter kini dalam proses pembinaan bagi menghalang pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad berkata, dua parit dibina bagi memutuskan laluan utama ke kawasan itu dan lima lagi di beberapa tempat dalam kawasan bekas kebun durian musang king.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan parit dilakukan selepas penanaman semula pokok hutan selesai sepenuhnya Sabtu lalu.

"HSK Batu Talam perlu dilindungi kerana merupakan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan pada penduduk daerah ini," katanya pada Selasa.

Shahril menjelaskan, pemantauan menggunakan dron akan dilakukan selepas ini bagi mengelak pencerobohan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, pihaknya menanam sebanyak 19,293 pelbagai spesies pokok hutan antaranya merawan, meranti, balau dan keruing.

Menurutnya, sebanyak 610 spesies pokok nadir membabitkan 200 sentul dan 410 tampoi berumur enam bulan hingga setahun ditanam secara selerak dalam kawasan HSK Batu Talam.

"Kerja menanam pokok dilakukan kakitangan JPNP membabitkan semua daerah, aktiviti menanam berjalan lancar dengan pengawasan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut sama menyertai Operasi Pamah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Operasi penanaman itu dilakukan selepas JPNP ke memusnahkan kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditanam di atas tanah seluas 101 hektar secara haram.