Kes Covid-19 kembali meningkat, 17,105 kes baharu hari ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu Covid-19 kembali merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 17,105 kes baharu dilaporkan pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Lembah Klang kekal penyumbang tertinggi angka tersebut dengan Selangor (5,836) dan Kuala Lumpur (2,309) kes.

"Negeri lain yang melaporkan kes harian tinggi adalah Johor (1,275), Kedah (1,036) dan Sabah (1,010).

"Ia diikuti Perak (967), Kelantan (915), Negeri Sembilan (816), Pulau Pinang (798), Pahang (628), Melaka (508), Sarawak (494), Terengganu (429), Putrajaya (72), Perlis (tujuh) dan Labuan (lima)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, daripada 17,105 kes harian yang dilaporkan, sebanyak 317 kes adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

"Sebanyak 16,788 kes lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua," katanya.

Beliau berkata, jumlah jangkitan tersebut turut terdiri daripada 37 kes import.

"Jumlah penularan dalam negara adalah 17,068 kes yang membabitkan 14,688 warga tempatan dan 2,380 warga asing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah 1,163,291.

"Kes aktif di seluruh negara adalah 203,664 yang mana 1,066 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) serta 537 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, terdapat 195 kes kematian direkodkan KKM melibatkan 173 rakyat tempatan dan 22 warga asing.

"Kes kematian hari ini merekodkan 88 kes di Selangor, Johor (24), Pulau Pinang (15), Kedah (13) dan Sabah (12).

"Lapan kes masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu (tujuh), Perak (empat), Kelantan (tiga), Sarawak (dua).

"Satu kes dikesan di Kuala Lumpur, Labuan dan Perlis," katanya.

Ujarnya, kes sembuh yang dicatatkan pula adalah 12,297 kes sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 950,029, ia bersamaan dengan 81.7 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, katanya, terdapat 30 kluster baharu dikenal pasti yang terdiri daripada 14 kluster komuniti, 14 kluster tempat kerja dan dua kumpulan berisiko tinggi.

"Jumlah keseluruhan kluster yang telah dikesan adalah 3,761 dan 2,618 daripadanya telah diisytiharkan tamat.

"Bakinya, 1,143 kluster masih aktif dan merekodkan pertambahan kes," katanya.