Dua beranak cemas atap rumah tercabut diterbangkan ribut

Mat Rasul menunjukkan bumbung rumahnya selepas dilanda ribut pada petang Isnin.
Mat Rasul menunjukkan bumbung rumahnya selepas dilanda ribut pada petang Isnin.
A
A
A

TEMERLOH - Dua beranak berdepan detik cemas apabila atap rumah mereka tercabut dalam kejadian ribut di Kampung Batu Kapor pada petang Isnin.

Kejadian kira-kira jam 5.40 petang turut membabitkan 11 rumah penduduk lain.

Mangsa, Abas Rahim, 78, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Risman Abas, 46, sedang berehat di dalam rumah.

Menurutnya, kejadian itu berlaku sekelip mata sahaja di mana lebih 65 keping atap diterbangkan ribut.

"Pada mulanya kami terdengar bunyi yang sangat kuat di bahagian atas rumah sebelum melihat bumbung bahagian hadapan rumah tercabut diterbangkan angin," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali pertama sejak dia mendiami rumah itu.

"Kejadian ini menyebabkan perabot dan barangan elektrik di dalam rumah saya rosak akibat terkena hujan.

"Memang ada rasa sedih dan trauma tapi syukur keluarga saya selamat," katanya mengalami kerugian kira-kira RM15,000.

Artikel Berkaitan:

Abas menunjukkan atap rumahnya yang melayang ke rumah jirannya.
Abas menunjukkan atap rumahnya yang melayang ke rumah jirannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) kampung itu, Mat Rasul Yurit berkata, sebahagian atap rumahnya turut rosak dalam kejadian itu.

Menurut Mat Rasul, ketika kejadian dia bersama isteri dan seorang anak sedang berehat di dalam rumah.

"Ketika menutup tingkap rumah, saya ada terdengar bunyi desiran angin yang kuat sebelum atap rumah diterbangkan ribut," katanya mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

Mat Rasul berkata, ini adalah kejadian kedua dihadapi mereka sekeluarga selepas 2007.

"Awal tahun ini, rumah saya juga dilanda banjir besar dan baharu siap dibaiki.

"Memang dugaan pada tahun ini tapi reda dan anggap ia ujian buat saya sekeluarga," jelasnya.