Wawasan pembangunan baharu Malaysia

ABDUL RAHMAN EMBONG
ABDUL RAHMAN EMBONG
A
A
A

PADA 27 Julai yang lepas, saya telah dijemput sebagai salah seorang pengulas bagi Syarahan Umum bertajuk “Wawasan Pembangunan Malaysia: Ke Arah Keseimbangan antara Pertumbuhan Ekonomi, Peruntukan Barangan Awam dan Keadilan Sosial” anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM).

Syarahan ini disampaikan oleh Profesor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, seorang pakar ekonomi terkemuka negara. Tahniah hangat kepada APM dan Prof Rajah atas syarahan ini.

Pada hemat saya, gagasan yang diutarakan oleh beliau memang menarik, tepat pada masanya.

Bahkan pandangan sebegini amat perlu diutarakan secara jelas dan tuntas demi mencerahkan kekusutan yang wujud dalam keadaan negara kita yang masih tercari-cari jalan keluar dari empat krisis besar yang kita hadapi iaitu pandemik Covid-19, krisis ekonomi, krisis politik (yang berpotensi mencetuskan krisis perlembagaan), dan krisis masyarakat sebagai impak dari ketiga-tiga krisis di atas.

Saya bersetuju dengan pandangan dalam syarahan ini tentang perlu tumpuan berterusan kepada penyelesaian krisis kesihatan serta ekonomi bagi menangani kemelut Covid-19 ini.

Saya berpendapat gagasan-gagasan utama dalam syarahan ini amat bermanfaat untuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diusahakan kerajaan sekarang.

Prof Rajah juga menegaskan kepentingan peranan kerangka Quadruple Helix yang terdiri daripada pihak pemerintah, swasta, ahli akademik dan masyarakat sivil dalam menangani pelbagai krisis yang melanda negara.

Ini bermaksud melaksanakan prinsip inklusif dalam usaha pembangunan untuk memanfaatkan kepakaran dan keikutsertaan pemegang taruh yang mesti ada sebagai satu gabungan.

Artikel Berkaitan:

Dari aspek menangani Covid-19 dengan berkesan, beliau menyarankan supaya kita memandang ke Timur dengan mempelajari strategi negara-negara seperti China, Vietnam dan Taiwan tetapi disesuaikan dengan ciri-ciri negara dan masyarakat Malaysia.

Tiang seri dalam wawasan pembangunan Malaysia

Empat perkara penting akan saya ulas berdasarkan syarahan ini. Pertama, wawasan pembangunan Malaysia yang dikemukakan oleh Prof Rajah adalah satu gagasan yang holistik berteraskan keseimbangan yang lestari dan berjangka panjang.

Perspektif ini sangat perlu untuk mengatasi langkah-langkah jangka pendek dan sebahagian-sebahagian yang tidak terintegrasi. Menurut beliau, gagasan wawasan pembangunan Malaysia ini berpaksikan tiga tonggak atau tiang seri iaitu;

(a) pertumbuhan ekonomi

(b) peruntukan barangan dan utiliti awam

(c) keadilan sosial (Barangan dan utiliti awam bermaksud makanan, pendidikan, ilmu pengetahuan, kesihatan, inovasi dan daya cipta, dan lain-lain).

Sudah tentu matlamat akhirnya ialah mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat, manakala tiga tiang seri tadi adalah mekanisme strategik untuk mencapai matlamat besar tersebut.

Tiga tiang seri ini sebenarnya menjadi teras dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berpandukan Rukun Negara, 50 tahun yang lampau.

Soalannya, mengapa sampai sekarang hubungan ketiga-tiga tiang seri ini masih tidak dilaksanakan dengan baik dan tuntas? Jawapannya ialah kerana dalam pelaksanaannya tidak dipastikan supaya wujud keseimbangan antara ketiga-tiganya.

Tumpuannya secara terpilih kepada pertumbuhan ekonomi dengan kealpaan atau kurang dititikberatkan kepada dua tiang seri yang lain iaitu peruntukan barangan and utiliti awam serta keadilan sosial.

Dalam kata lain, ketiga-tiganya tidak diuruskan sebagai satu kesatuan seperti sepatutnya.

Justeru untuk melangkah ke hadapan, dan bagi menjamin keberkesanan wawasan baharu, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, adalah diharapkan integrasi yang utuh antara ketiga-tiga tiang seri ini mesti diberi perhatian yang serius dalam penggubalan dan pelaksanaan.

Peranan pemerintah dan pasaran dalam menangani Covid-19

Kedua, bagaimana hubungan antara peranan negara (pemerintah) dengan peranan pasaran pada zaman pandemik yang luar biasa parahnya ini?

Prof Rajah menunjukkan dalam syarahan beliau bahawa penularan wabak Covid-19 membongkarkan ketidakupayaan sistem ekonomi dan pasaran bebas yang berasaskan neoliberalisme untuk menangani Covid-19, untuk mendukung sistem kesihatan awam serta melindungi kehidupan rakyat.

Bahkan, kuasa pasaran neoliberal telah melebarkan lagi jurang ketaksamaan atau kesenjangan dalam negara antara yang berada dengan yang tidak berada, dan juga antara negara kaya dan maju di Barat dengan negara-negara kurang maju bahkan miskin di Dunia Ketiga.

Apalagi dengan tindak-tanduk negara maju khususnya AS dalam soal produksi dan agihan vaksin. Bagi mereka, vaksin bukan dianggap sebagai 'public good' atau 'barangan kepentingan awam' untuk menyelamatkan umat manusia daripada penyakit dan kematian serta keruntuhan ekonomi negara-negara Dunia Ketiga akibat penularan Covid-19.

Sebaliknya mereka menjadikan vaksin seperti Pfizer sebagai barangan komersial untuk mendapat keuntungan berlimpah ruah.

Kendatipun begitu, dari segi pengeluaran dan pengedarannya mereka tetap mengutamakan negara mereka sendiri, bahkan vaksin booster – yakni vaksin ketiga selepas dua dos wajib itu – akan diberikan kepada warganegara mereka.

Maksudnya, produksi vaksin bukannya untuk diagihkan kepada negara-negara yang masih amat memerlukannya seperti di Afrika dan Amerika Latin tetapi untuk mereka sendiri.

Inilah dasar monopoli vaksin yang disebut oleh World Health Organisation (WHO) sebagai 'vaccine nationalism', tetapi sebenarnya tindak-tanduk ini jauh lebih daripada itu. Seperti ditegaskan oleh ramai peneliti, tindak-tanduk ini merupakan 'vaccine apartheid' atau 'vaccine imperialism'.

Hal ini akan terus melebarkan jurang ketaksamaan antara negara maju dengan negara-negara Dunia Ketiga. Manakala di dalam negara-negara Dunia Ketiga, jurang ketaksamaan itu tetap melebar dengan kemiskinan dan kelaparan yang semakin bertambah parah akibat pandemik dan krisis ekonomi.

Krisis ini telah memundurkan negara-negara itu kerana kemajuan pembangunan yang tercapai sebelum ini dihapuskan. Inilah tragedi kemanusiaan yang hebat melanda pelbagai negara di dunia sekarang.

Pelihara demokrasi dan elakkan autoritariansme

Dalam kemelut parah sebegini, rakyat berpaling kepada pemerintah untuk mencari jalan keluar dan menyelamatkan negara dan rakyat. Justeru, peranan pemerintah menjadi teramat penting.

Pemerintah mempunyai kuasa dan legitimasi untuk memobilisasi pelbagai sumber yang ada - kewangan, tenaga pakar, pelbagai jentera pelaksana, dan sudah tentu punca kuasa dari segi perundangan dan lain-lain.

Maksudnya, pemerintah boleh melaksanakan 'whole-of-government' atau 'whole-of-nation approach' – pendekatan seluruh pemerintah atau seluruh negara – supaya benar-benar berkesan.

Itulah sepatutnya peranan pemerintah yang harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, secara pantas, cekap dan berkesan, inilah yang diharapkan oleh seluruh rakyat.

Masalahnya ialah gelagat pemerintah apalagi dalam zaman krisis ialah ia cenderung menjadi apa yang disebut 'Big Government' atau 'Kerajaan Besar'.

“'Besar' di sini bukan dari segi saiz kabinet, tetapi 'besar' dari segi kuasa dan sumber-sumber lain yang dipegangnya, khususnya kuasa untuk melakukan apa yang dirasakannya perlu termasuk untuk mengawal rakyat seperti kuasa Darurat.

Gelagat pemerintah sebegini menimbulkan soal baharu bagi negara yang melaksanakan demokrasi.

Soal pokok di sini ialah pentingnya governans baik dan kepimpinan pemerintah yang telus, bertanggungjawab, prihatin dan berpaksikan rakyat.

Pemerintah dengan kuasa besar sekali-kali tidak boleh mengabaikan keperluan semak-dan-imbang dari segi sistem demokrasi.

Mereka jangan lupa punca kuasa itu dari rakyat, dan tidak harus menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan politik, tetapi sebaliknya menggunakannya untuk kepentingan rakyat dan negara.

Kecenderungan membolot dan menyalahgunakan kuasa ini mengingatkan kita kembali kepada fenomena akhir abad ke-20 yang menyaksikan kemunculan autoritarianisme dan penafian demokrasi di sejumlah negara di Asia.

Kini terdapat kebimbangan akan kemunculan semula pemerintahan authoritarian yang mengenepikan demokrasi serta semak dan imbang.

Justeru Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, perlu memberi perhatian secara serius supaya autoritarianisme tidak muncul semula dan institusi demokrasi dan governans baik dapat dikekalkan.

Pemeliharaan alam sekitar, pembandaran dan keadilan sosial

Selanjutnya, wawasan pembangunan berasaskan keseimbangan berjangka panjang yang dinyatakan dalam syarahan Prof Rajah mengandungi gagasan tentang perlunya pengukuhan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar termasuk perbandaran, dan keadilan sosial.

Soal pemulihan alam sekitar sama ada semula jadi ataupun alam buatan sangat penting. Alam sekitar semula jadi sudah amat banyak dimusnahkan kerana ketamakan manusia dan menimbulkan bencana kepada manusia.

Selain itu, salah satu gerak kuasa yang memusnahkan alam sekitar ialah pembandaran serta pertumbuhan dan perkembangan bandar.

Dunia termasuk ASEAN sudah melalui transisi urbanisasi sejak dua dekad yang lalu yang mana lebih 50 peratus penduduk sudah mendiami kawasan bandar.

Bahkan pada tahun 2020, sebanyak 56 peratus penduduk dunia sudah mendiami kawasan bandar. Malaysia sekarang sudah 80 peratus urban dan tidak begitu lama lagi, akan menuju ke 100 peratus. Sekarang di Lembah Klang, sudah kira-kira 100 peratus urban.

Apakah dasar pembandaran kita ialah mewujudkan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru? Cuba kita teliti di mana epicenter atau pusat wabak Covid-19 sekarang.

Tumpuannya ialah di kawasan pemusatan penduduk yang sudah tentu berada di bandar apalagi bandar besar. Lihat saja sekarang yang mana kes Covid-19 paling teruk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Dari segi jangka panjang, kewujudan bandar besar banyak implikasinya.

Hakikat ini patut mendesak kita berfikir semula tentang kebijaksanaan dasar urbanisasi termasuk pembangunan bandar besar supaya bandar itu berdaya huni dan pintar, mesra manusia dan mesra alam sekitar yang lestari secara berpanjangan.

Dasar ini tidak harus cenderung memihak kepada kepentingan pemodal hartanah dan bisnes lain, tetapi kepentingan rakyat dari segi pekerjaan, kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan hidup selaras dengan konsep bandar yang berdaya huni dan pintar.

Bahagian akhir ingin disentuh di sini ialah persoalan keadilan sosial dari segi keseimbangan jangka panjang.

Dalam aspek ini, antara perkara yang perlu ditekankan ialah soal upah minimum yang adil dan munasabah sebagai menghargai sumbangan tenaga kerja kepada perkembangan ekonomi yang mencerminkan tahap pembangunan negara kita.

Jumlah tenaga kerja negara kita kira-kira 16 juta, banyak dalam kalangan mereka bergaji rendah dan sebahagiannya tidakpun menikmati upah minimum.

Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis Upah Minima harus memberi perhatian serius mengenai perkara ini sebagai memenuhi prinsip keadilan sosial.

Satu aspek penting lagi untuk menjamin keadilan sosial ialah soal kehidupan iaitu makanan. Penyediaan barangan keperluan – beras, gula, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain – perlu sampai kepada semua lapisan masyarakat.

Persoalan makanan ini melibatkan tiga aspek.

Pertama ialah sekuriti makanan. Polisi pergantungan yang amat tinggi kepada import bekalan makanan dari luar harus diubah.

Pada tahun 2019 sahaja, nilai import makanan sangat tinggi iaitu RM51.46 bilion, meningkat dengan tajam daripada RM31.9 bilion pada tahun 2012. Hal ini adalah berbahaya dan harus diubah kepada swadaya iaitu pengeluaran dalam negara.

Bangunkan semula sektor pertanian termasuk perikanan secara inovasi seperti diamalkan di Taiwan yang melaksanakan 90 peratus penghasilan makanan dalam negeri.

Kedua ialah kedaulatan makanan termasuk padi dan beras, sayuran dan lain-lain.

Apakah pengeluar seperti petani mempunyai kuasa ke atas usahanya seperti benih, proses pengeluaran, pemasaran dan sebagainya? Ini penting sebagai menjamin hak dan kepentingan para penghasil makanan itu.

Ketiga ialah makanan dan pemakanan sihat. Aspek ini membabitkan masalah kesihatan atau penyakit khasnya dalam kalangan anak-anak yang berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang dan tidak sihat.

Perlu diambil perhatian bahawa Malaysia mempunyai kadar obesiti dan kelebihan berat badan yang serius.

Fakta menunjukkan bahawa Malaysia menjuarai kadar obesiti dan berat badan berlebihan yang paling tinggi di Asia, sebanyak 64 peratus bagi lelaki dan 65 peratus wanita.

Hal ini akan menimbulkan pelbagai penyakit dan akan membebankan bukan sahaja individu itu sendiri tetapi juga belanjawan negara, Justeru, perkembangan tidak sihat ini sangat penting ditangani dengan tuntas untuk keseimbangan pembangunan berjangka panjang negara kita.

* Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong merupakan Felo Akademi Profesor Malaysia & Ketua Kluster Kesepaduan Sosial dan Perpaduan Nasional APM; Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia