4,056 penduduk di kawasan PKPD terima bakul makanan

A
A
A

KUANTAN - Seramai 4,056 penduduk di kawasan Taman Tas, Pandan Permai dan Lubuk Puyu yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 16 Julai lalu, menerima agihan bakul makanan dari pejabat Ahli Parlimen Paya Besar pada Rabu.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berkata, agihan bakul makanan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap keluarga yang terjejas mempunyai bekalan makanan di kediaman mereka.

Menurutnya, pihaknya memahami keadaan penduduk di kawasan itu apabila PKPD di situ disambung sehingga 14 Ogos ini.

“Kita akui situasi di Taman Tas sedikit berbeza dengan kawasan dikenakan PKPD lain apabila mereka terpaksa melaluinya sehingga empat minggu berbanding kebiasaan (PKPD) hanya dua minggu.

"Jadi, bantuan ini adalah untuk meringankan bebanan mereka. Walaupun ia dilihat belum mencukupi, tetapi kami cuba lihat apa lagi yang boleh buat untuk membantu penduduk di kawasan terbabit,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan proses penghantaran bakul makanan di Dewan Abdul Manan pada Selasa.

Sebanyak 10 lori membawa muatan barangan keperluan asas digunakan untuk melancarkan proses pengagihan bakul makanan itu.

Proses pembungkusan bakul makanan itu dilakukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan II berkata, pihaknya sudah mengagihkan kira-kira 13,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar Parlimen Paya Besar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Jelasnya, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan PKPD.

Tambahnya, pemberian vaksin ini sebagai salah satu cara untuk membendung penularan Covid-19.

"Kami yakin dapat mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini," katanya.