'Muhyiddin sedang 'membeli' masa bagi kumpul sokongan'

MAHFUZ. Foto: Facebook Mahfuz Omar
MAHFUZ. Foto: Facebook Mahfuz Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi dilihat mencetuskan ‘scheme of things’ yang berterusan bagi menyelamatkan diri dan mengelak kerajaan pimpinannya jatuh.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan tidak masuk akal dengan menangguhkan sidang Parlimen secara jelas menunjukkan Muhyiddin sedang ‘membeli’ masa bagi mengumpulkan sokongan.

Sedangkan katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah hilang keabsahan untuk terus mentadbir negara kerana beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sudah menarik sokongan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri.

“Sekarang kita boleh lihat Muhyiddin menggunakan pendekatan ‘gua tolong lu, lu tolong gua’ untuk selamatkan dirinya. Sekarang, dia tiada sokongan majoriti dan secara tidak langsung hilang sokongan dan kerajaannya jatuh. Kabinet atau jemaah menterinya juga sepatutnya terbubar.

“Kita akan melihat perkembangan selepas ini dan walaupun saya percaya bahawa Muhyiddin cuba mengelak sidang Parlimen diteruskan semalam (Isnin) dengan alasan Covid-19, pada saya alasan itu hanya alasan yang direka, sebaliknya dia sedang ‘membeli’ masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya ahli Parlimen yang terlibat dalam penarikan sokongan terhadap Muhyiddin, Mahfuz mendakwa, Muhyiddin kehilangan majoriti apabila UMNO menyatakan penarikan sokongan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Beberapa ahli Parlimen didakwa menyatakan penarikan sokongan termasuk Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

Turut sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris menyatakan penarikan sokongan mereka kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selaras dengan ketetapan Badan Perhubungan UMNO negeri dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 7 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menambah, penarikan sokongan itu sekali gus membuatkan Muhyiddin hilang sokongan daripada majoriti yang diperlukan.

“Kami (pembangkang) melangkah bukan untuk kepentingan diri dan parti tetapi demi kepentingan negara. Kita tidak boleh membiarkan kerajaan terumbang-ambing kerana masalah dalaman Perdana Menteri sendiri yang sudah kucar kacir dan hubungan dengan istana yang sudah tidak baik.

“Kita akan lihat perkembangan seterusnya dalam masa terdekat kerana kita tidak boleh membuat jangkaan apa langkah kita seterusnya tetapi kita (pembangkang) mesti melangkah,” tegasnya.