X

Kindly register in order to view this article
!

DKKB jadi panduan aktiviti perkebunan bandar

Datuk Zuraida Kamaruddin
A
A

PUTRAJAYA - Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) diperkenalkan sebagai panduan bagi memacu amalan perkebunan berhemah dalam bandar dan membolehkan rakyat meraih peluang menghasilkan sumber makanan serta menjana pendapatan.

Dilancarkan secara maya oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pada Selasa, DKKB menggariskan lima teras dan 17 strategi termasuk Garis Panduan Kebun Komuniti Bandar untuk memudah cara pelaksanaan Program Pembangunan Kebun Komuniti selaras dengan peraturan dan prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sedang berkuat kuasa sekarang.

Beliau berkata, DKKB dapat memastikan pengurusan landskap bandar yang efektif melibatkan tanggungjawab bersama antara PBT dan masyarakat dengan menekankan peri penting untuk mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan kejiranan atau kawasan lapang yang dibenarkan.

Dasar berkenaan merupakan inisiatif untuk memperkasa komuniti bandar dan mewujudkan peluang dan ruang kepada individu serta komuniti untuk menguruskan ekonomi sosial jangka pendek dengan menggalakkan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik menerusi insentif anak benih dan anak-anak pokok, katanya.

“DKKB ini juga bertujuan untuk memastikan orang awam sedar perkara-perkara yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan,” katanya.

Melalui DKKB, Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan kelangsungan program kebun komuniti yang telah diusahakan oleh komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) dengan sasaran satu PPR, satu kebun komuniti.

"Berdasarkan statistik, tiga PSMK mencatatkan hasil tuaian tertinggi untuk tempoh Januari hingga 31 Mei lepas iaitu Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan di Pahang yang mencatat 311 kilogram (kg) hasil, PPR Hiliran, Kuala Terengganu di Terengganu dengan 242.9 kg hasil dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh di Perak dengan 64.78 kg.

“Saya berharap semasa tempoh Covid-19, aktiviti kebun komuniti masih boleh diteruskan terutama di kawasan-kawasan yang mempunyai kebun yang luas dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!