Pokok durian usia lebih 100 tahun masih berbuah

Syed Abu Bakar bersama isterinya, Rohana Ariffin, 73, bersama hasil durian daripada pokok berusia lebih 100 tahun.
Syed Abu Bakar bersama isterinya, Rohana Ariffin, 73, bersama hasil durian daripada pokok berusia lebih 100 tahun.
A
A
A

TEMERLOH - Biarpun sudah berusia lebih 100 tahun, dua pokok durian milik seorang pesara guru di Kampung Jenderak di sini masih mengeluarkan buah yang lebat sehingga kini.

Sejak dua minggu lalu, sudah 600 buah gugur dari pokok sebesar empat pemeluk orang dewasa dan setinggi 70 meter itu.

Pemiliknya, Syed Abu Bakar Syed Salim, 73, memberitahu, pokok yang mempunyai diameter lebih tiga meter itu dipercayai ditanam nenek atau moyangnya dikenali sebagai durian sangka dan durian terong.

"Setakat ini, buah dari dua pokok ini memang ada pelanggan tetap selain dijual sekitar Temerloh pada harga RM8 hingga RM10 bagi satu kilogram.

"Durian ini memang laris kerana peminatnya sudah tahu rasa lemak manis durian ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Syed Abu Bakar bersama hasil durian dari pokok tersebut yang gugur sejak lebih dua minggu lalu.
Syed Abu Bakar bersama hasil durian dari pokok tersebut yang gugur sejak lebih dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, pokok terbabit mampu mengeluarkan kira-kira 1,000 biji buah bagi satu musim.

"Mengikut cerita ibu bapa saya, dua batang pokok ini sudah mengeluarkan buah sejak tahun 1920-an lagi.

"Ketika kecil, saya menggunakan atap zink yang diletakkan di kepala semasa mengutip durian bagi mengelak risiko kecederaan ditimpa buah gugur,” jelasnya.

Syed Abu Bakar turut mendakwa dua pokok durian tersebut masih mengeluarkan buah yang lebat setiap tahun walaupun pernah dilanda banjir teruk sebelum ini.

"Saya akan terus menjaga pokok yang ada ini sebaik mungkin dan berharap dapat dinikmati oleh generasi seterusnya," ujarnya lagi.