Siasat kebocoran surat Istana Negara kepada PM: Srikandi Bersatu

Mastura (tengah) ditemani oleh beberapa wakil Srikandi negeri membuat laporan polis berhubung kebocoran surat Istana Negara kepada Muhyiddin.
Mastura (tengah) ditemani oleh beberapa wakil Srikandi negeri membuat laporan polis berhubung kebocoran surat Istana Negara kepada Muhyiddin.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa polis menyiasat kebocoran surat rasmi Istana Negara kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Mastura Mohamad berkata, kebocoran dan penularan surat rasmi itu merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab yang menimbulkan keresahan rakyat mengenai hubungan istana dan kerajaan.

"Bagaimana surat berkenaan jika terbukti ketulenannya boleh dibocorkan dan disebarkan secara meluas di media sosial," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, dekat sini pada Selasa.

Menurut beliau, kebocoran surat tersebut perlu disiasat dari segala sudut termasuklah kemungkinan berlaku perbuatan khianat atau sabotaj untuk mengganggu kestabilan kerajaan dan negara.

"Lebih-lebih lagi memandangkan status surat tersebut yang sudah pasti tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat sebagai satu inisiatif pihaknya agar siasatan segera dilakukan.

"Tiada desakan mana-mana pihak, tetapi sebagai tanggungjawab Srikandi. Kita tidak mahu ada tanggapan negatif," katanya.

Warkah yang diutus Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Muhyiddin tular pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Dalam warkah itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menghadap Seri Paduka Baginda secara maya pada 24 Julai lepas.

Semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menitahkan tidak berkenan untuk menandatangani permohonan pembatalan Ordinan Darurat kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.

Pada hari pertama Mesyuarat Khas Sidang Dewan Rakyat, Takiyuddin memaklumkan kerajaan memutuskan untuk membatalkan kesemua Ordinan Darurat sejak 21 Julai lalu.

Ia sekaligus mengundang rasa amat dukacita Al-Sultan Abdullah kerana pembatalan Ordinan Darurat itu belum diperkenan Seri Paduka Baginda.