Hilang duit angkara pelaburan tak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang rumah mengalami kerugian RM3,051 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menggunakan nama sebuah syarikat pelaburan dikenali pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, lelaki berusia 58 tahun itu berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook yang menawarkan satu pelaburan dengan menjanjikan pulangan 'tidak masuk akal' pada 18 Julai lalu.

Menurut beliau, selepas berminat dengan tawaran tersebut, mangsa dari Seberang Takir, Kuala Nerus terus berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dinyatakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi sekiranya mahu meneruskan pelaburan berkenaan.

Beliau berkata, tertarik dengan tawaran dan syarat dinyatakan, mangsa tanpa berfikir panjang terus bersetuju sebelum membuat pembayaran pertama berjumlah RM500 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada 15 Julai.

"Mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran kedua berjumlah RM961 ke dalam akaun bank diberikan suspek pada hari sama.

"Kemudian, suspek meminta mangsa memasukkan lagi RM1,590 ke dalam akaun diberikan sebelum mangsa berbuat demikian pada 26 Julai lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

M.Zambri berkata, pada keesokan harinya (27 Julai), mangsa sekali lagi menerima satu pesanan WhatsApp daripada suspek yang meminta RM2,550.

"Ketika itu, suspek menjanjikan mangsa akan memperoleh keuntungan RM26,000 serta-merta dan keuntungan itu akan terus dimasukkan ke dalam akaunnya sejurus pembayaran dibuat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mengambil keputusan tidak berbuat demikian seperti diarahkan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang percaya ditipu dalam pelaburan itu membuat laporan di balai polis Gong Badak, Kuala Nerus pada 27 Julai lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Dalam pada itu, M Zambri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan bagi mengelakkan penipuan dan kerugian.