NGO desak tindakan tegas terhadap dua perhimpunan

Lima NGO membuat laporan polis terhadap himpunan baju hitam dan perhimpunan membabitkan ahli Parlimen.
Lima NGO membuat laporan polis terhadap himpunan baju hitam dan perhimpunan membabitkan ahli Parlimen.
A
A
A

SEREMBAN - Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam himpunan baju hitam dan perhimpunan melibatkan ahli Parlimen (MP) berhampiran Dataran Merdeka pada Isnin.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Semalaysia (Permas) Negeri Sembilan, Gagasan Aspirasi Pembangunan Ekonomi Nasional (Gapen), Pertubuhan Al - Ehsan Islamiah Malaysia Pertubuhan Gabungan Abang-Abang Negeri Sembilan dan Pertubuhan Jalinan Silaturahim Negeri Sembilan.

Mewakili NGO terbabit, Pengerusi Permas Zazali Alias berkata, dua perhimpunan itu ternyata mencabar kewibawaan pihak berkuasa dan kerajaan.

"Kami sebagai NGO yang cintakan keamanan berharap perkara itu tidak dibiarkan begitu saja tanpa tindakan undang-undang yang sewajarnya.

"Pihak berkuasa perlu mendakwa penganjur dan semua peserta perhimpunan itu yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana diadakan ketika negara berperang dengan pandemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada Selasa.

Berkenaan perhimpunan melibatkan MP pula beliau berkata, sebagai pemimpin mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

Ujarnya, tindakan mengadakan perarakan ke Parlimen jelas menunjukkan sikap pemimpin yang tidak matang.

"Mesyuarat Khas Parlimen yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sepatutnya menjadi medan perbincangan permasalahan wabak Covid-19, membantu rakyat serta perancangan pembangunan semula ekonomi serta sektor yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka pula mengadakan demonstrasi hanya kerana Mesyuarat Khas Dewan Negara ditangguhkan selepas penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.