Ahli Parlimen pembangkang langgar SOP wajar dikompaun

Rosol (kanan) menyampaikan bantuan kepada tukang gunting di rumahnya di Ajil, malam Isnin.
Rosol (kanan) menyampaikan bantuan kepada tukang gunting di rumahnya di Ajil, malam Isnin.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bertindak berhimpun di sekitar ibu negara pada Isnin wajar dikenakan tindakan undang-undang kerana secara jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, mereka patut dikompaun selepas tidak mematuhi peraturan apabila berhimpun dan tidak menjaga penjarakan fizikal.

“Mereka yang melanggar peraturan, SOP dan tidak menjaga jarak fizikal perlu diambil tindakan kerana apabila berlaku kepada kita (pemimpin kerajaan) mereka kata kerajaan golongan kayangan.

“Jadi saya harap tidak ada perbezaan melaksanakan undang-undang dan peraturan. Mereka yang melakukan kesalahan perlu dikompaun serta denda,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Ajil, malam Isnin.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu sebelum itu menyampaikan bantuan kepada 70 tukang gunting dalam Parlimen itu bagi meringankan beban mereka yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut Rosol turut menyelar sikap pembangkang yang tidak menggunakan tempoh empat hari persidangan untuk menyuarakan pandangan dalam membantu rakyat dan isu Covid-19 sebaliknya membahaskan isu tidak penting.

“Mereka kata Parlimen perlu bersidang untuk bincang isu Covid-19 tapi tiada pun idea untuk atasi Covid-19. Ini bermakna pembangkang ada agenda sendiri. Apabila tidak berjaya di Parlimen mereka cuba berarak di jalan raya pula,” katanya.

Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen pembangkang mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Artikel Berkaitan:

Rundingan yang cuba dilakukan mereka bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya ahli Parlimen mengambil keputusan menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka