Guru rugi RM30,000 cemas dituduh terlibat jenayah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Cemas apabila didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan menjual akaun bagi tujuan penjualan dadah, membuatkan seorang guru terpaksa menanggung kerugian RM30,000 akibat ditipu Macau Scam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Cameron Highlands pada Isnin setelah sedar dirinya tertipu.

"Susulan itu, mangsa mengalami kerugian RM30,000 apabila kesemua wang simpanan miliknya telah dipindahkan ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan siasatan.

"Selepas, memindahkan wang tersebut, mangsa tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek. Mangsa merasakan dirinya telah ditipu, satu laporan polis telah dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd wazir berkata, kejadian bermula pada jam 2.30 petang Isnin apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang kononnya pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar, Kedah.

Katanya, suspek memaklumkan nama mangsa telah digunakan untuk pendaftaran sebuah syarikat enterprise dan syarikat terbabit didapati gagal membayar tunggakan cukai selama 15 bulan yang berjumlah RM17,600.76.

Bagaimanapun, mangsa menafikan membuat pendaftaran syarikat seperti yang didakwa dan suspek mencadangkan agar mangsa membuat laporan polis.

"Panggilan itu, kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Rizal Yaakop yang akan membantu menyelesaikan aduan mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Suspek meminta mangsa memberi butiran kad pengenalan bagi tujuan semakan dan mendapati mangsa terlibat dengan kes jenayah iaitu pengubahan wang haram dan menjual akaun syarikat atas namanya itu kepada kumpulan penyeludupan dadah yang telah ditangkap di sempadan Malaysia Thailand," ujarnya.

Beliau berkata, panggilan tersebut disambungkan ke seorang lelaki kononnya pegawai bahagian siasatan pengubahan wang haram kerana mahu menjalankan siasatan secara terperinci ke atas akaun milik mangsa.

Katanya, mangsa telah diminta untuk memberikan kerjasama dengan melakukan pemindahan kesemua wang miliknya ke dalam akaun yang diberikan dan akan dikembalikan selepas menjalankan proses pemeriksaan ke atas akaun mangsa.

"Pada kira-kira jam 4.30 petang mangsa telah membuat pemindahkan wang RM30,000 secara dalam talian dan selepas itu mangsa gagal menghubungi suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.