X

Kindly register in order to view this article
!

Penyeludup rempuh bot Maritim, 19 warga asing ditahan

Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Benteng Laut dan Ops Ehsan pada Isnin.
A
A

PELABUHAN KLANG - Seramai 19 warga asing yang cuba menyusup keluar secara haram dengan menaiki sebuah tongkang kayu tanpa nombor pendaftaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor di sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar di sini pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, dalam kejadian pada jam1 pagi itu, semasa rondaan bersepadu Ops Benteng Laut dan Ops Ehsan, bot Penggalang 41 Maritim Malaysia telah mengesan sebuah tongkang kayu mencurigakan sedang bergerak tanpa sebarang lampu menuju sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

"Sebaik dipintas untuk diperiksa, tekong tongkang tersebut telah bertindak agresif dan cuba meloloskan diri dengan merempuh bot Penggalang 41," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Rosli berkata, rempuhan tersebut telah menyebabkan kerosakan di bahagian sisi bot Penggalang 41, namun semua anggota tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berikutan rempuhan itu juga mengakibatkan tongkang tersebut karam di lokasi kejadian dan kesemua 19 penumpang termasuk tekong jatuh ke laut dan hampir lemas.

"Walau bagaimanapun, kesemua mangsa diselamatkan oleh anggota Penggalang 41 dengan bantuan dua aset Polis Diraja Malaysia dan satu aset Tentera Laut Diraja Malaysia yang juga turut serta dalam operasi itu," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati tongkang berkenaan membawa 16 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Pakistan berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun.

"Kesemua suspek telah ditahan dan 12 daripadanya telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala tujuh lagi mempunyai pasport tanpa cop keluar atau masuk secara rasmi," katanya.

Mohd Rosli berkata, kesemua tahanan telah di bawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!