Bentuk piawaian keselamatan tong gas: CAP

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar membentuk piawaian keselamatan mandatori bagi tong gas memasak di negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kajian mendapati banyak tong gas yang digunakan sudah lama, berkarat dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Menurutnya, hal tersebut merupakan antara faktor berlakunya kebocoran gas yang menyebabkan letupan sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian sejak beberapa tahun lalu.

"Pihak berkuasa perlu menyediakan prosedur keselamatan berhubung penggunaan gas memasak ketika kecemasan dan mewajibkan tarikh luput diletakkan di tong, injap, hos dan regulator gas.

"Selain itu, CAP turut menggesa agar pemeriksaan yang kerap ke atas tong gas yang digunakan dan memastikan semua alat termasuk gelang getah mematuhi piawaian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes kecederaan sehingga menyebabkan kematian melibatkan kebocoran gas masak di negara ini agak membimbangkan.

"Oleh itu, pihak berkuasa juga digesa menubuhkan sebuah badan untuk menguji tong gas dan alatan yang berkaitan. Menubuhkan sebuah badan pengawal bagi industri gas memasak juga dilihat perlu.

"Pihak berkuasa juga perlu menggalakkan kesedaran mengenai keselamatan gas kepada orang ramai. Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,setiap gerai penjaja dan tempat makan wajib mempunyai alat pemadam kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohideen berkata, kebocoran yang berlaku pada injap tong gas, dalam hos getah penyambung atau pada injap ketuhar boleh menyebabkan letupan berlaku.

"Setiap jenis kebocoran perlu dikendalikan dengan cara yang berbeza. Tidak banyak maklumat dan pendidikan yang ada bagi membolehkan pengguna arif dalam menggunakan dan menyelenggara tong gas.

"Oleh itu, pengguna dinasihatkan mengambil beberapa langkah keselamatan antaranya memastikan dapur sentiasa bersih kerana permukaan yang berminyak boleh menyebabkan api mudah menyambar, periksa keadaan tong gas sebelum menggunakannya selain memastikan penutup getah di sebelah dalam kepala tong gas dipasang selepas tudungnya dibuka," katanya.