Peluang masih ada

Pandelela (kanan) dan Jun Hoong meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Pandelela (kanan) dan Jun Hoong meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016.
A
A
A

PERJUANGAN kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 umpama sudah melepasi pertengahan jalan dengan satu pingat gangsa sudah berjaya dibawa pulang.

Kini dua lagi pingat termasuk satu kilauan emas menjadi buruan kontinjen Malaysia tatkala temasya Olimpik Tokyo 2020 akan melabuhkan tirainya pada Ahad ini.

Melihatkan peluang mencapai sasaran yang ditetapkan masih ada, barisan atlet negara yang masih berjuang di bumi Tokyo memerlukan doa dan sokongan padu dari seluruh rakyat Malaysia untuk mengangkat maruah negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, hanya doa dan kata-kata semangat mampu menjadi azimat dalam mengiringi perjuangan mereka memburu pingat yang didambakan khususnya kilauan emas Olimpik.

“Ya, kami belum di penghujung kerana perjuangan masih lagi diteruskan kerana terdapat dalam kalangan atlet kami seperti Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang akan turun dalam acara 10 meter platform individu.

“Demikian juga penampilan yang kita semua tunggu-tunggu iaitu (Datuk) Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah (Firdaus Sahrom) dalam acara pecut dan keirin,” katanya dalam satu program bual bicara dengan sebuah stesen televisyen pada Isnin.

Pada masa sama, Reezal Merican meminta semua rakyat Malaysia sekali lagi untuk terus menitipkan doa dan sokongan kepada atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di pentas Olimpik Tokyo.

“Jangan berhenti menyokong sehinggalah detik terakhir, saya nak ajak semua rakyat Malaysia teruskan sokongan anda kepada atlet negara yang masih bertarung.

Artikel Berkaitan:

“Mereka bertarung demi untuk mengangkat nama negara, apatah lagi mereka semua telah melalui pelbagai cabaran getir. Tidak ada apa lagi yang mereka perlukan bukti atas pengorbanan mereka selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Reezal Merican menyifatkan pencapaian dipamerkan beberapa atlet muda berada pada tahap luar biasa seperti dibuktikan pemanah, Syaqiera Mashayikh dan pelari pecut, Azreen Nabila Alias.

“Syaqiera tewas tipis kepada atlet dunia yang hebat. Di situ sudah cukup membuktikan bahawa atlet muda kita mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Demikian juga atlet wild card 100 meter, Azreen Nabila yang mulanya mendapat kritikan segelintir pihak. Tapi akhirnya Azreen Nabila berjaya membuktikan keupayaannya, malah turut memperbaharui rekod peribadi,” jelasnya.