Cabaran sediakan vaksin untuk negara

No Image Caption
A
A
A

TERLALU banyak tuduhan telah dilemparkan kepada syarikat berkaitan kerajaan, Pharmaniaga Berhad berhubung pelbagai isu termasuk pengedaran vaksin di negara ini.

Kita amat memahami bahawa sebagai sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka negara yang dikendalikan oleh pakar-pakar terdiri daripada golongan bumiputera itu berdepan dengan pelbagai cabaran. Antara perkara yang sering ditimbulkan di media sosial ialah syarikat itu mempunyai hubungan istimewa dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bagaimanapun, ramai yang tidak mengetahui fakta sebenar bahawa Pharmaniaga bukanlah sebuah syarikat yang memonopoli industri farmaseutikal negara. Faktanya, konsesi yang diterima bagi pembekalan ubat-ubatan dan alat pakai buang perubatan di negara ini oleh syarikat tersebut hanya 34 peratus sahaja.

Sementara pembekalan vaksin jenis Sinovac sebenarnya hanyalah 20 peratus daripada daripada keperluan negara berbanding vaksin lain yang dibeli dalam jumlah lebih banyak oleh kerajaan.

Malah, bekalan vaksin yang diimport dari China itu sebenarnya diperolehi dengan menggunakan wang Pharmaniaga dan tidak menggunakan peruntukan kerajaan. Kemudian timbul pula tentang isu penjualan vaksin kepada pihak swasta yang telah diputarbelitkan oleh banyak pihak.

Sudah tentu sebagai sebuah syarikat korporat yang perlu menjaga seramai 2,100 orang kakitangan, mereka juga perlu berniaga untuk memastikan syarikat itu untuk terus hidup dan menjana keuntungan.

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kakitangan yang bertugas untuk membekalkan vaksin boleh dikatakan bertugas hampir 24 jam kerana mereka perlu mengeluarkan sebanyak 160,000 vial vaksin sehari dan mencapai sasaran empat juta vial vaksin sebulan.

Selain itu, untuk memastikan semua vaksin berada pada tahap yang berkualiti tinggi, bahagian logistik perlu membuat penghantaran seawal pukul 4 pagi kepada semua pusat-pusat vaksin di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Atas sebab itu, pujian harus diberikan kepada Pharmaniaga yang telah banyak membantu untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat vaksin mereka pada hari ini.