Ibu tunggal jual empat tan durian setiap hari

Tengku Nor Amira menunjukkan buah durian yang kini dijual dengan harga murah di gerai buah-buahan di Kampung Raja Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Tengku Nor Amira menunjukkan buah durian yang kini dijual dengan harga murah di gerai buah-buahan di Kampung Raja Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Hilang pekerjaan sebagai penjaga kolam udang di Selangor kerana Covid-19 tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal untuk bangkit semula dengan menjual durian di Kampung Raja Geting, Pengkalan Kubor, di sini.

Kini, Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31, yang memulakan perniagaan raja buah itu selepas pulang ke kampung akibat hilang punca pendapatan pada April lalu mampu menjual empat tan buah durian hanya dalam tempoh dua jam setiap hari.

Katanya, dia memperoleh modal RM2,700 daripada abangnya, Tengku Mohd Farid Tengku Razaman, 33, yang juga penjual buah dan bersimpati dengan nasibnya.

“Modal itu digunakan untuk memborong 400 kilogram pelbagai jenis durian di Pasar Borong RTC Tunjong sebagai permulaan untuk berniaga.

“Untungnya berniaga semasa musim durian kerana mudah laris. Pelanggan beratur seawal jam 8 pagi setiap hari dan buah habis dijual sebanyak empat tan atau 4,000 kilogram hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam sahaja,” katanya ketika ditemui di gerai buah-buahan itu.

Tengku Nor Amira menjual empat tan buah durian setiap hari di Kampung Raja Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Tengku Nor Amira menjual empat tan buah durian setiap hari di Kampung Raja Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat.

Menurutnya, semasa harga durian masih mahal, dia memperoleh sehingga RM15,000 sehari dan dan kini hasil jualannya RM1,000 sehari walaupun harga raja buah itu sudah menurun.

“Tahun ini buah durian ‘menjadi’ dengan banyak dan boleh didapati dengan harga yang murah.

Artikel Berkaitan:

“Saya memperoleh durian daripada pekebun di Jeli sekitar 50 sen hingga RM1.80 sekilogram dan dijual antara RM1 sehingga RM2,” katanya.

Ujarnya, dia berhasrat menjual buah tembikai dan membuka kedai makan apabila habis musim durian nanti.

“Saya ada dua anak berusia 13 tahun dan tujuh tahun yang dijaga oleh abang dan kakak ipar.

“Adik-beradik banyak membantu dan memainkan peranan untuk saya bangkit selepas hilang pekerjaan sebagai penjaga kolam udang di Selangor kerana Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.