Kenyataan Presiden MIC berkenaan Ordinan Darurat dangkal: Khaled

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkenaan penamatan Ordinan Darurat di Parlimen dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam urusan itu sebagai dangkal serta gagal memahaminya dalam konteks sebenar.

Menurut beliau, pertamanya Vigneswaran beranggapan tindakan kerajaan membatalkan Ordinan Darurat sebelum waktunya adalah berasas.

"Beliau berpendapat kerajaan sebenarnya mengambil pemahaman bahawa apabila Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perkenan yang Darurat mestilah tidak diteruskan selepas 1 Ogos, secara tidak langsung Seri Paduka Baginda berkenan untuk membatalkannya.

"Bagaimanapun, hujah ini pincang dan tidak bernas. Di bawah perlembagaan hanya ada dua cara untuk menamatkan Proklamasi Darurat. Pertama, jika Yang diPertuan Agong membatalkannya.

"Kedua, pembatalan yang dibuat melalui ketetapan oleh kedua-dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan sebenarnya telah membuat andaian semata-mata bahawa hanya kerana Agong berhasrat tidak meneruskan Ordinan Darurat selepas 1 Ogos, bermaksud Seri Paduka Baginda telah memberikan perkenan untuk menamatkannya.

Justeru katanya, kenyataan yang dibuat Vigneswaran adalah tidak benar dan membelakangkan prosedur yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, sangat jelas bahawa kenyataan yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengelirukan Parlimen, orang awam dan menimbulkan krisis perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua, Vigneswaran berpandangan bahawa tiada keperluan untuk membahaskan Ordinan Darurat merupakan sesuatu yang bersifat 'represents a setback towards rebuilding the stability of our nation'.

"Beliau seterusnya menyatakan persidangan khas parlimen kali ini bertujuan membahaskan Pelan Pemulihan Covid-19 dan isu-isu berkaitan pandemik. Ini jelas menunjukkan ketiadaan pemahaman yang jelas pihak beliau berkenaan kesan Ordinan Darurat ke atas kehidupan rakyat.

"Ordinan tersebut mengandungi undang-undang yang memberi kesan secara terus ke atas kehidupan rakyat dan mempunyai peranan kritikal dalam pengurusan pandemik," katanya.

Tambahnya, ketiga, Vigneswaran bersandar kepada Perkara 40 (1A) yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda perlu bertindak mengikut atau setelah mempertimbangkan nasihat, kabinet dan Perdana Menteri.

"Presiden MIC turut menyatakan bahawa kita kini berhadapan situasi di mana Agong yang menasihati kabinet tentang apa yang perlu dilakukan.

"Adalah jelas Vigneswaran gagal memahami bahawa tindakan kerajaan telah menyebabkan berlakunya krisis perlembagaan dan merupakan satu keingkaran terhadap titah Agong," katanya.