Polis Tangkak rampas lebih 13kg dadah

Mohad Idris (dua, kiri) menunjukkan bungkusan dadah pelbagai jenis susulan penahanan dua lelaki tempatan di sebuah rumah di Jalan Sialang yang dipercayai terlbabit dengan kes pengedaran dadah selepas sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, hari ini. - Foto Bernama
A
A

TANGKAK - Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan merampas dadah pelbagai jenis seberat 13.32kg dianggarkan bernilai RM280,212 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sialang di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata dalam serbuan pada 10.10 malam itu, dua suspek lelaki berusia 35 dan 36 tahun ditahan, hasil risikan polis dan maklumat awam.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek dalam rumah itu, tidak menjumpai sebarang dadah dan pihak polis seterusnya memeriksa sebuah kereta jenis Toyota Altis di hadapan rumah tersebut dan menemukan pelbagai jenis dadah disimpan dalam kenderaan terbabit.

"Serbuan itu turut menjumpai dadah jenis heroin yang dibungkus menggunakan bungkusan makanan haiwan dan setiap satunya dianggarkan seberat 640gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di sini, hari ini.

Beliau berkata antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu heroin seberat 9.36kg, syabu (1.46kg), kafien (965 gram), 670 biji pil ekstasi dan 4,200 biji pil eramin 5.

Mohad Idris berkata polis turut merampas wang tunai RM3,449 serta sebuah lagi kereta jenis Nissan Almera yang digunakan suspek dan kedua-dua kereta terbabit dianggarkan bernilai RM70,000.

Beliau berkata dipercayai kedua-dua lelaki tersebut terlibat dengan kes pengedaran dadah di sekitar Tangkak, Muar dan Melaka dengan menyasarkan pusat hiburan.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine selain masing-masing mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan seorang daripadanya memiliki satu rekod jenayah lampau.

"Dua suspek tersebut juga kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam di sekitar Tangkak yang memberi kerjasama kepada pihak polis dalam memerangai aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia