Tokyo 2020: Juni-Nuraisyah kena tunggu lagi

Nuraisyah (kanan) dan Juni bersama Muhammad tetap bersemangat walaupun dua perlumbaan pusingan terakhir acara pelayaran International 470 wanita di Tokyo 2020 terpaksa ditunda berikutan kekurangan kelajuan angin di kawasan pulau di Teluk Sagami, Enoshima Yacht Harbour pada Isnin. - Foto Bernama
Nuraisyah (kanan) dan Juni bersama Muhammad tetap bersemangat walaupun dua perlumbaan pusingan terakhir acara pelayaran International 470 wanita di Tokyo 2020 terpaksa ditunda berikutan kekurangan kelajuan angin di kawasan pulau di Teluk Sagami, Enoshima Yacht Harbour pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

DUA pusingan terakhir acara pelayaran International 470 wanita di Olimpik Tokyo 2020 hari ini, melibatkan atlet negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali ditunda ke Selasa.

Jurulatih Kebangsaan, Muhammad Sahir A Rahim berkata, saingan pada Rabu terpaksa ditangguh berikutan kekurangan kelajuan angin di kawasan pulau di Teluk Sagami itu.

Perlumbaan kesembilan dan ke-10 pada awalnya dijadualkan bermula 12.05 tengah hari waktu tempatan (11.05 pagi waktu Malaysia) di Enoshima Yacht Harbour.

“Pihak penganjur memutuskan untuk menunda perlumbaan sehingga esok sebab angin kurang daripada empat knots dan kondisi angin berubah.

“Sebagai pelayar, kedua-dua atlet ini sudah biasa dengan keadaan begini dan ia sebahagian daripada rutin persediaan,” katanya ketika dihubungi.

Selain dua perlumbaan terakhir kelas 470 International lelaki dan wanita, perlumbaan pingat bagi kelas 49er lelaki dan wanita turut dijadualkan pada hari ini.

Menurut World Sailing, kelajuan angin sekurang-kurangnya enam knots diperlukan untuk memastikan pertandingan yang adil.

Semalam, Nuraisyah dan Juni Karimah menamatkan saingan di tempat ke-20 pada perlumbaan ketujuh, namun gandingan itu tidak bernasib baik pada perlumbaan kelapan apabila kerosakan pada sistem layar “spinnaker” iaitu layar ketiga bot menjejaskan aksi mereka, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan.

Artikel Berkaitan:

Selepas lapan perlumbaan, Nuraisyah-Juni kini menduduki tangga ke-20 daripada 21 pelayar secara keseluruhan dengan 130 mata bersih, manakala Hannah Mills-Eilidh McIntyre dari Great Britain mendahului carta dengan catatan 18 mata. - Bernama