Tentera Thailand sedia khidmat pengebumian percuma mangsa Covid-19

Tentera Diraja Thai sediakan perkhidmatan pengebumian percuma untuk bantu ringankan beban waris kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19. - Foto Bernama
Tentera Diraja Thai sediakan perkhidmatan pengebumian percuma untuk bantu ringankan beban waris kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Berikutan jumlah kematian Covid-19 terus meningkat, Tentera Diraja Thai (RTA) menyediakan perkhidmatan pengebumian percuma untuk membantu meringankan beban waris yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.

Penolong Jurucakap Tentera Darat Kapten (Kor Tentera Wanita), Kannanat Phornnipatkul berkata, anggota tentera yang terbabit dengan perkhidmatan itu telah dilatih untuk memastikan proses pengebumian mangsa Covid-19 dijalankan dengan selamat.

Peranan tentera dilihat penting memandangkan jumlah korban terus meningkat terutama di Bangkok dan wilayah berhampiran, apatah lagi ketika banyak kematian mengejut dilaporkan berlaku di rumah atau tempat awam, katanya.

"RTA akan urus bermula daripada proses memindahkan mayat hinggalah kepada pengebumian di krematorium RTA.

"Sehingga kini, RTA telah menguruskan 592 kes sejak tiga bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

RTA menyediakan perkhidmatan pengebumian di empat krematorium RTA di Bangkok dan satu di Nakhon Ratchasima sejak Mei tahun ini.

Angka kematian Covid-19 Thailand pada Isnin melebihi 5,000. Sepanjang 24 jam, Thailand mencatat 178 kematian menjadikan jumlah korban keseluruhan kepada 5,168.

Thailand juga mencatat 17,970 kes baharu dalam tempoh yang sama, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan setakat ini sebanyak 633,284.

Artikel Berkaitan:

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kematian baharu itu melibatkan 94 wanita dan 84 lelaki berusia antara 17 hingga 94 tahun termasuk lima warga Myanmar dan dua rakyat China.

"Lima orang termasuk dua di Bangkok dan masing-masing seorang di Pathum Thani, Roi Et dan Suphan Buri meninggal dunia di rumah," katanya semasa sidang media di sini pada Isnin.

Daripada 17,970 kes baharu, Dr Apisamai berkata 17,959 adalah jangkitan tempatan dan 11 kes import. - Bernama