Perhimpunan pimpinan pembangkang retorik politik murahan

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyifatkan perhimpunan beberapa pimpinan pembangkang yang diadakan berhampiran Dataran Merdeka pada pagi Isnin sebagai retorik politik murahan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, rakyat tidak sepatutnya termakan propaganda Pakatan Harapan (PH) buat kali kedua.

“Umpama satu perancangan yang telah diatur, hari ini (Isnin) ahli-ahli Parlimen PH berhimpun tanpa menghiraukan penularan Covid-19 yang mengganas.

“Tidak cukup dengan kerenah kurang ajar dan tiada adab nilai-nilai ketimuran rakyat Malaysia, pembangkang berteriak dan menghambur kata-kata kesat sepanjang empat hari di Dewan Rakyat.

“Malah mereka telah menggunakan anak-anak muda untuk turun ke jalanan mengadakan demonstrasi ketika Covid-19 memuncak pada hujung minggu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, seramai 107 ahli Parlimen pembangkang dikatakan berhimpun di Dataran Merdeka pada awal pagi selepas gagal memasuki Parlimen.

Dalam pada itu, Shahir turut mempersoalkan kredibiliti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam memimpin anak muda berikutan Syed Saddiq kini berdepan dengan pertuduhan kesalahan pecah amanah.

Menurutnya, anak muda perlu bijak dalam membezakan yang mana permata dan yang mana kaca.

Artikel Berkaitan:

“Kalian sudah ditipu oleh Pemuda PH ketika itu, di bawah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kini Syed Saddiq menggunakan platform parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menjanjikan bulan dan bintang kepada anak muda.

“Bagaimanakah mahu memimpin anak muda jika diri sendiri didakwa dengan kes pecah amanah?” soalnya.

Sementara itu, Shahir berkata, pihaknya bersama kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional (PN) menyeru semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat.

“Ingatlah, taruhan percaturan politik pada waktu ini adalah nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa,” menurutnya.