MasterMalaysia pupuk nilai patriotik dalam diri generasi muda

Pertandingan MasterMalaysia secara atas talian bermula 16 September lalu sehingga 16 September tahun ini. Gambar kecil: Fauziah Mohd Ramly
Pertandingan MasterMalaysia secara atas talian bermula 16 September lalu sehingga 16 September tahun ini. Gambar kecil: Fauziah Mohd Ramly
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pertandingan MasterMalaysia dengan ‘tagline’ Cabaran Minda 2020 bukan hanya sekadar sebuah permainan secara dalam talian, namun turut menyajikan ilmu pengetahuan yang sangat unik dan terperinci mengenai sejarah, budaya, warisan serta tanah air Malaysia.

Pertandingan itu mula dilancarkan pada 16 September lalu dan bakal berakhir pada 16 September ini iaitu peringkat ‘Grand Finale’ yang akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 berserta komputer riba bagi pemenang tempat pertama.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Perpustakaan Negara Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Infinitas Technologies (M) Sdn Bhd.

Penasihat MasterMalaysia selaku Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia, Fauziah Mohd Ramly berkata, matlamat utama pertandingan tersebut diadakan adalah untuk mempromosi dan memperkasakan semangat nasionalisme melalui perkongsian pembelajaran khususunya kepada generasi muda.

Pelajar sekolah menengah ketika menyertai program MasterMalaysia menggunakan board game pada tahun 2019 yang lalu.
Pelajar sekolah menengah ketika menyertai program MasterMalaysia menggunakan board game pada tahun 2019 yang lalu.

Menurut beliau, untuk membuktikan seseorang itu sayang dan cinta pada negara, ia bukan hanya sekadar mengibar bendera atau sebaliknya, tetapi perlu mempunyai pengetahuan umum mengenai Malaysia.

“Kita sedia maklum pendemik Covid-19 yang melanda dunia adalah cabaran yang amat berat untuk ditangani. Bagi membendung wabak daripada terus merebak, penjarakan sosial adalah wajib sehingga menyebabkan interaksi secara fizikal menjadi terhad.

“Justeru, kami mengambil inisiatif ini supaya kita masih kekal berinteraksi dan berkomunikasi melalui platform media sosial sambil terokai khazanah negara Malaysia melalui Cabaran Minda 2020,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

MasterMalaysia mula diwujudkan pada 13 tahun yang lalu dengan tujuan mendidik pelajar menghargai negara. Ia dimulakan dengan sebuah permainan papan (board game), kemudian beralih kepada platform digital berikutan pandemik Covid-19.

Idea tersebut dicetuskan oleh Peter Stanislaus Asirvatham yang merupakan bekas Pengurus Pengiklanan (Supplements), New Straits Times Press (M) Bhd dan disokong oleh tokoh sejarawan negara, mendiang Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Fauziah.

Peter Stanislaus Asirvatham
Peter Stanislaus Asirvatham

Sejak dari tahun 2008, Persatuan Siswazah Wanita Malaysia telah menggerakkan board game MasterMalaysia dalam pelbagai aktiviti termasuk mengadakan kem menghayati kemerdekaan dan memantapkan perpaduan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mengulas lanjut mengenai pertandingan MasterMalaysia secara dalam talian itu, Peter berkata, sebanyak 1,825 soalan telah dihasilkan berdasarkan fakta dan bukti dari portal kerajaan, bahan-bahan ilmiah seperti jurnal dan juga laporan akhbar tempatan.

Tambah beliau, kesemua soalan berkenaan meliputi empat kategori iaitu sejarah, warisan, budaya dan tanah air Malaysia.

“Untuk syarat penyertaan, peserta perlu mendaftar terlebih dahulu dan membuat bayaran sebanyak RM3. Kemudian, mereka boleh menjawab lima soalan dalam masa dua minit setiap hari, bermula pada jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Bagaimanapun, peserta hanya boleh menjawab sekali sahaja setiap hari. Bagi peserta yang menjawab soalan dengan betul dan terpantas, mereka akan memperoleh wang tunai sebanyak RM100 untuk satu pemenang sahaja setiap hari.

“Peserta juga boleh meneruskan permainan ini pada hari seterusnya sehingga tarikh tutup penyertaan iaitu pada 15 September 2021. Untuk peringkat akhir, hanya pemenang harian sahaja yang layak untuk pusingan ini,” kata Peter.

Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut, sila layari www.mastermalaysia.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi MasterMalaysia.