Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap kes Covid-19 harian yang terus kekal tinggi di negara ini, mencecah 15,764 kes hari ini.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap kes Covid-19 harian yang terus kekal tinggi di negara ini, mencecah 15,764 kes hari ini.
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap kes Covid-19 harian yang terus kekal tinggi di negara ini, mencecah 15,764 kes hari ini, kata penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.2240/2255 berbanding dolar AS daripada 4.2190/2220 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, kes Covid-19 dilihat terus mendorong peningkatan memberangsangkan dos vaksinasi harian, yang mencapai kira-kira 500,000 dos sehari baru-baru ini.

“Kelemahan ringgit juga seiring dengan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah susulan prospek permintaan suram disebabkan kemungkinan gangguan terhadap pemulihan ekonomi global ekoran varian Delta yang merebak dengan cepat,” katanya kepada Bernama.

Semasa laporan ini ditulis, harga minyak mentah Brent susut 1.33 peratus kepada AS$74.41 setong.

Pada penutupan pasaran, unit tempatan diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1256/1272 daripada 3.1189/1216 ketika ditutup Jumaat lepas dan rendah berbanding euro kepada 5.0240/0262 daripada 5.0181/0216.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8554/8571 daripada 3.8502/8529 namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8794/8815 daripada 5.8935/8977. - Bernama

Artikel Berkaitan: