Covid-19: 500 penduduk Kampung Anak Ikan jalani ujian saringan

Penduduk Kampung Anak Ikan hadir jalani ujian saringan Covid-19 pada Isnin. Gambar kecil: Dr Azman Ibrahim
Penduduk Kampung Anak Ikan hadir jalani ujian saringan Covid-19 pada Isnin. Gambar kecil: Dr Azman Ibrahim
A
A
A

BESUT – Kira-kira 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 selama dua hari bermula Isnin bagi mengesan kemungkinan berlakunya jangkitan pandemik itu.

Ujian menyeluruh itu berikutan kedudukan kampung tersebut berjiran dengan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 3 Ogos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, ujian saringan bersasar tersebut diadakan di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan melibatkan 250 penduduk pada Isnin manakala selebihnya pada Selasa.

“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.

“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif Covid-19 dikesan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengenai pelaksanaan PKPD di PAKR Anak Ikan bermula Selasa, Dr Azman berkata, pihaknya menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan PKPD PAKR Anak Ikan yang akan bertindak menjaga kebajikan penduduk.

Menurut beliau, penduduk tidak perlu bimbang kerana bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 23 lokaliti di Terengganu dan Sabah dikenakan PKPD mulai Selasa hingga 16 Ogos nanti.

Artikel Berkaitan:

PKPD di Terengganu membabitkan PAKR Anak Ikan, Mukim Jabi dan sembilan di Mukim Kuala Dungun iaitu Kubang Miang; Teratai; Teluk Lipat; Alor Tembesu; Sura Utara; Batu 48; Sura Gate; Bukit Chatak dan Tembesu Akar.

11 lagi lokaliti lain membabitkan kawasan Mukim Sura, Dungun iaitu Batu 5; Sura Tengah; Alor Tempoyak; Taman Rakyat Jaya; Taman Delima Batu 6; Balai Besar; Sura Melati; Batu 7; Paya Balai Besar; Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.