PKRC, JAHEAIK jalin kerjasama jaga kesihatan mental pesakit Covid-19

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir menunjukkan risalah perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) dan talian yang boleh dihubungi oleh pesakit Covid-19 yang berdepan krisis kesihatan mental.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir menunjukkan risalah perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) dan talian yang boleh dihubungi oleh pesakit Covid-19 yang berdepan krisis kesihatan mental.
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) bagi menangani kesihatan mental pesakit positif Covid-19 yang ditempatkan di 12 pusat itu di Kelantan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, kerjasama dilakukan menerusi sesi bimbingan dan kaunseling selain merangkumi aktiviti kerohanian seperti ceramah agama serta zikir yang diadakan secara beramai-ramai.

Katanya, sejumlah 1,750 pesakit Covid-19 kategori satu hingga empat ditempatkan di 12 PKRC di seluruh Kelantan sehingga Isnin.

“Pihak kami menerima beberapa aduan secara lisan daripada pesakit berhubung pemasalahan berkaitan kesihatan mental antaranya akibat kerinduan dan masalah kewangan.

“Pemasalahan ini kian ketara susulan jumlah pesakit Covid-19 semakin meningkat saban hari menyebabkan sesi bimbingan dan kaunseling terus dilakukan setiap minggu bagi memastikan tahap kesihatan mental pesakit terjaga,” katanya kepada pemberita di PKRC Institut Latihan Perindustrian (IPL) Kota Bharu di sini, pada Isnin.

Dr Mohd Zurairie sebelum itu menerima sumbangan dua tan buah durian, manggis dan rambutan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang Tanah Merah.

Sumbangan ditaja oleh Pengarah Urusan AK Puyuh Emas, Abdul Khairan Firdaus Abdul Rahim dan disampaikan Pengerusi Pertubuhan Peladang Lanas Jedok Tanah Merah Zulkifli Yunos.

Mengulas lanjut, pihaknya mengambil inisiatif mengedarkan risalah berkaitan penjagaan kesihatan mental kepada pesakit di semua PKRC sebagai panduan dan maklumat kepada para pesakit.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga menampal risalah mengandungi nombor telefon talian kecemasan bagi kegunaan individu yang memerlukan bantuan berkaitan kesihatan mental.

“Bagi pesakit mahupun petugas yang tertekan emosi, dirundung kesedihan atau kemurungan ketika berada di PKRC, boleh terus menghubungi talian Psychological First Aid (PFA) yang tertera,” katanya,

Tambah beliau, perkhidmatan PFA oleh Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) itu turut terbuka kepada ahli keluarga pesakit dan petugas yang mengalami krisis kesihatan mental.

“Masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan mengurangkan stigma negatif terhadap pesakit Covid-19,” katanya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)