Daftar awal tapi belum terima tarikh janji temu vaksin

Masih ramai penduduk di Pulau Pinang belum menerima tarikh janji temu vaksin walaupun telah lama berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. Gambar kecil: Chong Eng
Masih ramai penduduk di Pulau Pinang belum menerima tarikh janji temu vaksin walaupun telah lama berdaftar melalui aplikasi MySejahtera. Gambar kecil: Chong Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Masih ramai penduduk di Pulau Pinang yang belum menerima tarikh janji temu bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sedangkan telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu.

Keadaan itu menyebabkan ramai yang tertanya-tanya sampai bila mereka perlu menunggu tarikh janji temu itu tanpa sebarang penjelasan sedangkan terdapat individu yang berdaftar lewat sudah pun menerima suntikan vaksin.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, daripada tinjauan dilakukan pihaknya telah menerima sebanyak 4,120 maklum balas daripada penduduk yang berdepan masalah berkenaan.

Menurutnya, statistik yang dikumpul menunjukkan daripada 4,120 responden, seramai 107 individu berusia antara 50 hingga 60 tahun, 2,613 individu berusia antara 30 hingga 49 tahun manakala selebihnya iaitu 1,396 individu berusia antara 18 hingga 29 tahun.

"Adakah suntikan vaksin ini dijadualkan berdasarkan had umur seseorang ataupun berdasarkan tarikh pendaftaran?

"Ini merupakan soalan mereka kepada pihak yang mengendali sistem MySejahtera dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Chong Eng berkata, masalah ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah dipercayai turut melibatkan negeri lain dan kerajaan seharusnya mengambil berat serta memberikan penjelasan sewajarnya.

Tambahnya, jika terdapat sebarang perkara yang perlu diperbaiki, ia perlu dibuat dengan kadar segera kerana ketika ini ramai yang ternanti-nanti giliran mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Chong Eng juga memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menghantar kertas cadangan kepada KKM agar peniaga-peniaga di pasar awam diberi keutamaan suntikan vaksin kerana golongan itu berisiko tinggi dan terdedah dengan jangkitan Covid-19.