Polis cari pemandu lori simen putih rempuh motosikal

Lori simen berwarna putih yang merempuh sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 27 Julai lalu.
Lori simen berwarna putih yang merempuh sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 27 Julai lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis sedang mengesan pemandu lori simen yang melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Jalan Tasek Gelugor pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lori simen berwarna putih itu dikatakan merempuh dari arah belakang motosikal yang ditunggang lelaki berusia 74 tahun.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan terus melarikan diri sedangkan penunggang motosikal berkenaan terbaring di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah pada badan.

"Siasatan mendapati motosikal berkenaan dari arah Tasek Gelugor menuju ke Pekan Darat, namun dirempuh lori itu dalam kejadian kira-kira jam 6 petang.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia pada Ahad akibat kecederaan dialami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Noorzainy berkata, orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai pemandu lori simen itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Syafiniaz di talian 018-2881424 atau mana-mana balai berhampiran.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan: