Penduduk Selangor lega boleh 'walk-in' ambil vaksin

Orang ramai mula hadir ke PPV IDCC Shah Alam, di sini seawal jam 1.30 sebelum ia dibuka pada jam 2 petang. Gambar kecil: Dr Nur Es Naini
Orang ramai mula hadir ke PPV IDCC Shah Alam, di sini seawal jam 1.30 sebelum ia dibuka pada jam 2 petang. Gambar kecil: Dr Nur Es Naini
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di Selangor khususnya golongan berusia 40 tahun ke atas dan warga emas boleh menarik nafas lega kerana dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19 secara terus atau 'walk-in' bermula Isnin.

Tinjauan Sinar Harian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), di sini pada Isnin mendapati orang ramai mula datang ke sini sejak jam 1.30 petang sebelum ia dibuka kepada orang ramai pada jam 2 petang.

Hasil tinjauan turut mendapati majoriti orang yang datang ke sini untuk mendapatkan suntikan pertama vaksin merupakan golongan berusia 40 tahun ke atas serta warga emas yang ditemani waris masing-masing.

Pengurus PPV IDCC, Dr Nur Es Naini Awalludin berkata, sebanyak 600 dos bekalan vaksin jenis Sinovac dibekalkan sehari untuk pengunjung yang datang ke pusat berkenaan secara 'walk-in' bermula Isnin hingga Rabu.

Menurutnya, antara kriteria diperlukan untuk pengunjung yang hadir mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara 'walk-in' ialah warganegara yang lahir atau bermastautin di Lembah Klang, berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai penyakit 'komorbid' atau kronik.

Zakaria (kiri) dan Zainun teruja menerima suntikan vaksin kerana tidak perlu melakukan perjalanan jauh bagi berbuat demikian.
Zakaria (kiri) dan Zainun teruja menerima suntikan vaksin kerana tidak perlu melakukan perjalanan jauh bagi berbuat demikian.

"Kita cuba memanfaatkan jumlah dos yang dibekalkan, namun mereka boleh datang pada hari berikutnya untuk mendapatkan suntikan tersebut jika kehabisan bekalan vaksin.

"Jika ada keperluan untuk menambah kuota bekalan vaksin harian bagi 'walk-in', kita akan berbincang dengan pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk perkara itu," katanya di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pasangan suami isteri, Zakaria Ab Rahman, 49 dan Zainun Che Mat, 49, teruja menerima suntikan vaksin kerana tidak perlu melakukan perjalanan jauh bagi berbuat demikian.

Zakaria dan isteri yang tinggal di Paya Jaras, Sungai Buloh sebelum ini pernah mendapat janji temu suntikan vaksin di Klang, namun gagal untuk hadir kerana masa janji temu yang diberikan adalah pada waktu malam dan jauh dari rumahnya.

"Saya gembira akhirnya dapat suntik vaksin kerana telah lama menunggu untuk berbuat demikian.

"Pada saya bila buat macam ini lebih mudah untuk saya dan isteri datang ke sini kerana dekat dengan rumah dan tidak perlu tunggu janji temu di aplikasi MySejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasri Abd Rahman, 55, juga pernah mendapat janji temu suntikan vaksin pada Julai lalu, namun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Dia yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing berasa risau apabila hanya dia daripada enam sekeluarga masih tidak menerima suntikan vaksin Covid-19 sejak Julai lalu.

"Sebelum ini saya pernah daftar pada Jun, tapi saya tak berapa sihat untuk hadir pada hari janji temu yang saya dapat pada Julai lepas.

"Baguslah kerajaan buat begini (pemberian vaksin secara walk-in) kerana ia memudahkan orang yang tidak mahir untuk mengemaskini maklumat dalam aplikasi MySejahtera dan menyebabkan mereka tidak dapat tarikh janji temu," katanya.

Pada Isnin, penduduk di Lembah Klang yang ingin mendapatkan suntikan vaksin Covid -19 secara jumpa terus atau 'walk-in' boleh berbuat demikian bermula Isnin.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, kaedah jumpa terus akan dijalankan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih bermula jam 2 petang setiap hari.