X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar vaksinasi negara pada landasan tepat

Gambar kecil: Mohd Radzi
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang terus memberi gambaran seolah-olah Malaysia tiada harapan untuk keluar daripada pandemik Covid-19 sedangkan kadar vaksinasi negara kini sedang berada pada landasan yang tepat.

Beliau berkata, suka atau tidak, dunia mengakui bahawa vaksin adalah antara jalan keluar daripada pandemik Covid-19 yang paling ampuh.

"Mengapa ada pihak yang gentar melihat negara menghampiri kejayaan menangani Covid-19?

"Menjadi rutin saya saban hari untuk melihat kadar vaksinasi negara termasuk kadar vaksinasi dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan sekolah. Ini membantu kami dalam merencana perancangan terbaik di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kadar pemberian vaksin negara pada hari ini adalah antara tertinggi di dunia. Secara purata, negara kita mencatatkan jumlah pemberian vaksin melebihi 500,000 dos untuk tujuh hari yang lepas," katanya dalam satu perkongsian di Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, negara-negara lain di dunia berlumba-lumba untuk meningkatkan peratusan jumlah penduduk divaksinasi dalam usaha membawa negara mereka keluar daripada kemelut Covid-19 dan Malaysia tentunya tidak berkecuali apabila berdasarkan kadar vaksinasi semasa, Malaysia dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober ini.

"Malaysia ternyata berada pada landasan yang tepat. Pada 31 Ogos ini, 50 peratus populasi dewasa divaksin dan pada bulan Oktober mencapai imuniti kelompok.

"Jadi, adakah tindakan kelompok tertentu yang cuba menunjukkan seolah-olah Malaysia tiada harapan untuk keluar daripada kemelut Covid-19 adalah disebabkan mereka ini takut melihat kejayaan nanti?

"Mungkinkah mereka fikir sekiranya berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut Covid-19 maka mereka tiada lagi perkara yang boleh dijadikan isu?" katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!