Bersatu persoal majoriti 107 ahli Parlimen didakwa Anwar

Muhammad Faiz Na’aman
Muhammad Faiz Na’aman
A
A
A

SHAH ALAM- Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempersoalkan sama ada majoriti 107 ahli Parlimen yang didakwa dimiliki Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, angka 107 seringkali digunakan ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai modal untuk menunjukkan kepada dunia bahawa pihaknya mempunyai majoriti.

"Tidak dapat dinafikan blok pembangkang sekarang ini mempunyai satu tujuan yang sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Namun hakikatnya, mereka mempunyai pendapat berbeza pula mengenai siapa dalam kalangan mereka yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Inilah dia kemabukan politik tahap luar biasa di negara kita. Mahu menjatuhkan tetapi tiada perancangan konkrit untuk membangunkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Muhammad Faiz, jika pembangkang sendiri tidak mempunyai persetujuan di antara mereka, kumpulan tersebut mempunyai masalah untuk meyakinkan rakyat bagi mentadbir Malaysia dengan lebih efektif sekali gus menyelesaikan masalah negara akibat bencana skala global seperti Covid-19.

Dalam pada itu beliau berpendapat, Muhyiddin adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja mendengar segala fakta dan statistik daripada kelompok pakar yang diiktiraf, malah beliau juga memahami denyut nadi kehendak rakyat di luar sana.

Ujarnya, meskipun sukar untuk menyeimbangi kehendak masyarakat dalam sektor ekonomi dan tuntutan mengawal penularan wabak, Perdana Menteri akan terus berusaha menstabilkan keadaan dengan bantuan pelbagai pihak terutamanya pasukan petugas barisan hadapan serta kabinetnya.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dari awal lagi kerajaan PN mengikuti segala prosedur perundangan melalui nasihat pejabat Peguam Negara dan juga bertindak dalam hal kesihatan berpandukan saranan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ia suatu cabaran besar buat kerajaan PN yang memegang tampuk pentadbiran negara ketika wabak Covid-19 mengganas di seluruh dunia dan semakin mengganas hingga kini," katanya.