X

Kindly register in order to view this article
!

Prudential BSN bakal edar 15,000 pelan perlindungan takaful

A
A

PRUDENTIAL BSN Takaful Berhad (PruBSN), melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin akan mengedarkan hampir 15,000 pelan PruBSN Microtakaful Jariyah kepada keluarga berpendapatan rendah di beberapa negeri sebagai langkah untuk menyediakan akses perlindungan takaful percuma kepada golongan berkenaan.

Menurut Timbalan Presiden PruBSN Prihatin, Anita Menon, inisiatif itu yang kali kedua dijayakan dengan kerjasama daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) merupakan kesinambungan kepada usaha sebelum ini.

Pada Mac lepas, sejumlah 1,588 ketua keluarga daripada golongan berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan telah menjadi kumpulan pertama yang ditawarkan pelan berkenaan.

“Pemberian PruBSN Microtakaful Jariyah ini dijalankan secara berperingkat meliputi Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan) dan Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor).

Ia juga melibatkan Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Zon Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) serta Sabah dan Sarawak dengan keseluruhan penerima manfaat adalah 28,000 orang tahun ini,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Melalui pelan Microtakaful Jariyah yang sebahagian besarnya dibiayai oleh dana zakat, PruBSN menawarkan perlindungan asas takaful percuma selama setahun kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terpilih.

“Ini bermakna penerima akan menerima manfaat kematian sebanyak RM10,000, dengan bayaran akan dibuat secara terus ke akaun bank mereka,” katanya sambil memberitahu sebanyak RM2.24 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif itu tahun ini.

Proses pemilihan penerima program ini dikawal selia oleh ICU JPM yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pangkalan data, eKasih bagi keluarga miskin di Malaysia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!