Kelantan sasar 80 peratus penduduk divaksin menjelang Oktober

Kelantan sasar 80 peratus penduduknya menerima vaksin menjelang Oktober. - Foto Bernama
Kelantan sasar 80 peratus penduduknya menerima vaksin menjelang Oktober. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menyasarkan 80 peratus penduduk negeri ini menerima vaksinasi Covid-19 menjelang Oktober sebagaimana yang dirancang dan berdasarkan vaksin yang dibekalkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) Kebangsaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia melibatkan proses vaksinasi di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam dan swasta, termasuklah klinik dan hospital.

Menurutnya, sehingga kini, semua PPV yang beroperasi berupaya menyuntik 25,000 dos sehari sedangkan kapasiti sebenarnya boleh mencecah sehingga 30,000 dos sehari.

Dr Zaini
Dr Zaini

“Sekarang ini, kami tidak buka PPV untuk hari minggu berdasarkan jumlah vaksin yang kita ada. Insya-ALLAH kami boleh buka PPV di hari minggu jika ada pertambahan bekalan disediakan kepada kami.

“Kalau 30,000 sehari, kita boleh capai satu juta sebulan. Langkah ini akan membantu mempercepatkan imuniti di kalangan masyarakat yang ada dan selari dengan sasaran pihak kerajaan mahu proses vaksin ini dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu hadir meninjau PPV di bawah Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta di Hotel Grand Riverview di sini.

Menurutnya, sebanyak 95 hingga 97 peratus vaksin yang dibekalkan dapat disuntik kepada mereka yang layak setiap minggu dan sambutan daripada masyarakat juga amat memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pendaftaran melalui Mysejahtera agak rendah, Dr Zaini berkata, apa yang penting ialah proses vaksinasi itu mencapai sasaran berdasarkan jumlah bekalan vaksin yang diberikan.

“Kalau pendaftaran tinggi pun, tapi kalau vaksin tiada, sama saja. Sehingga kini, seramai lebih 440,000 penduduk telah mendapat dos pertama iaitu melibatkan 23.1 peratus jumlah rakyat Kelantan manakala dos kedua pula ialah seramai lebih 245,000 orang yang mana melibatkan 12.88 peratus.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin juga telah menyasarkan 40 peratus daripada rakyat kelantan akan dapat suntikan vaksinasi masing-masing menjelang 31 Ogos. Insya-ALLAH kita akan capai sasaran tersebut dengan dos yang dijanjikan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, mengulas mengenai kluster baharu di negeri ini, Dr Zaini memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada sikap komuniti yang tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) kawalan kendiri Covid-19.

Malah katanya, hampir setiap hari wujud kluster baharu melibatkan negeri ini menjadikan jumlah jangkitan masih bertahan dengan angka yang agak tinggi dan membimbangkan.

“Sebagai contonya kluster di Pasir Puteh yang didakwa daripada varian Delta, mungkin juga daerah-daerah lain seperti Tanah Merah, Bachok dan sebagainya memiliki varian yang sama berpandukan jumlah jangkitan yang agak tinggi.

"Namun data kami adalah berdasarkan kes di Pasir Puteh, buat masa sekarang ini daerah lain kami belum dapat maklumat lagi,” katanya.