X

Kindly register in order to view this article
!

8,000 pekerja sektor peruncitan terima vaksin

Kira-kira 8,000 pekerja sektor peruncitan di Melaka dijangka diberi suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program 'Retail Industry Vaccination' (RIVac) pada pertengahan bulan ini. - Gambar hiasan
A
A

ALOR GAJAH - Kira-kira 8,000 pekerja sektor peruncitan di Melaka dijangka diberi suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program 'Retail Industry Vaccination' (RIVac) pada pertengahan bulan ini.

Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman berkata, pemberian vaksin Covid-19 yang dicadangkan di bawah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dijangka dilaksanakan di Dataran Pahlawan Melaka Megamall di sini.

"Pelaksanaan Program RIVac bertujuan membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus memastikan pekerja sektor peruncitan diberi vaksinasi secepat mungkin agar persekitaran lebih selamat bagi sektor berkenaan dapat diwujudkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Dewan Undangan Negeri Ayer Limau dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perpaduan Negara di Lubok China, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penerima RIVac terdiri daripada pekerja pasar raya, juruwang, kumpulan pengurusan pasar raya, pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan pasar raya terlibat.

Sementara itu, pelaksanaan Program Mobililasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Melaka sedang giat dilaksanakan di kawasan luar bandar agar golongan di kawasan berkenaan khususnya warga emas dan mereka yang tiada akses internet atau telefon pintar tidak tercicir.

Menurut Ismail, bagi fasa pertama MOVAK dilaksanakan di kawasan Kuala Sungai Baru, Kuala Linggi, Machap, Selandar, Asahan dan Ayer Limau sebelum diperluas ke fasa dua yang dijangka pada pertengahan bulan ini melibatkan kawasan antaranya Rim dan Sungai Rambai.

"Kita juga menyeru ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memainkan peranan lebih proaktif dengan cara membantu penduduk di kawasan mereka mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar tiada antara mereka yang tercicir," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kira-kira 3,000 penerima telah diberi vaksinasi menerusi Program MOVAK yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!