Ahli Parlimen pembangkang undang risiko diri sendiri: Jalaluddin

Ahli Parlimen pembangkang mula berhimpun di Dataran Merdeka apabila tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin.
Ahli Parlimen pembangkang mula berhimpun di Dataran Merdeka apabila tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan beberapa ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka pada pagi Isnin bukan saja merisikokan diri sendiri, malah pihak berkuasa, pengamal media dan penyokong yang turut hadir di lokasi.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dengan keadaan pandemik Covid-19 yang masih belum reda ketika ini, tidak sewajarnya mereka berkumpul seperti itu.

"Tambahan pula ada laporan berita yang mengatakan terdapat ahli Parlimen yang sepatutnya menjalani kuarantin kerana pegawai beliau disahkan positif Covid-19, Varian Delta.

"Mengapa masih mahu terlibat dalam perhimpunan jika diri sendiri sudah terdedah kepada risiko terjangkiti dan menjangkiti?" katanya menerusi kenyataan di laman Facebook beliau pada Isnin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, sebagai orang yang dipilih untuk menjadi penggubal dasar negara, ahli Parlimen sama ada daripada kerajaan atau pembangkang sepatutnya menjadi contoh yang lebih baik kepada rakyat.

Jika ada ketidakpuasan hati, katanya, mereka boleh menggunakan segala medium yang ada seperti media sosial untuk memberikan pandangan dan kritikan.

"Sebagai seorang ahli Parlimen dipilih oleh rakyat, saya juga menyokong dan mendokong demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

"Saya juga mahu Parlimen bersidang kerana banyak isu-isu berkaitan rakyat yang saya ingin utarakan dan perlu kita bahas untuk ditambah baik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tegas beliau, semua pihak harus akur dan faham dengan keadaan dan realiti semasa.

"Penyebaran Covid-19 di kawasan Parlimen perlu kita kawal dan cegah dengan sangat berhati-hati," katanya.

Tambah beliau, kenyataan terbaharu Ketua Pengarah Kesihatan mengatakan bahawa empat sampel kes positif yang diambil di Parlimen berkemungkinan besar adalah Varian Delta.

"Kita sendiri harus akui, sewaktu persidangan Parlimen, sangat sukar untuk kita mengawal pergerakan dan kemasukan individu di kawasan Parlimen.

"Selain 220 ahli Parlimen, akan ada juga kakitangan Parlimen, pegawai-pegawai bertugas, pegawai kementerian, pihak media, staf sokongan dan lain-lain lagi yang jumlahnya mencecah lebih 1,000 orang setiap hari berada di kawasan Parlimen," katanya.

Sehubungan itu, Jalaluddin berkata, beliau melihat tindakan kerajaan menangguhkan sidang Parlimen ke satu tarikh yang belum diumumkan akibat kes positif Covid-19 di kawasan tersebut mempunyai asas.