Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dijangka siap 2026

Muhammad Sanusi (kiri) menukar dokumen perjanjian usahasama KXP dengan Eng Chuen di Wisma PKNK pada Isnin. - Foto ihsan Unit Penerangan Darul Aman
Muhammad Sanusi (kiri) menukar dokumen perjanjian usahasama KXP dengan Eng Chuen di Wisma PKNK pada Isnin. - Foto ihsan Unit Penerangan Darul Aman
A
A
A

ALOR SETAR - Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 mampu mengubah imej dan status Kedah kepada sebuah negeri berkembang maju.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek tersebut juga dijangka memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan, menjadi hab industri halal dan e-dagang termasuk produk farmasi serta pelbagai kategori kargo di rantau Asean.

Menurutnya, lapangan terbang itu akan menjadi hab baik pulih industri penerbangan dan pusat operasi bencana serantau berdasarkan kedudukannya di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.

"Fasa pertama projek ini yang akan bermula dalam tempoh terdekat,menelan kos RM6 bilion termasuk untuk pengambilan tanah.

"Ia akan dilanjutkan dengan beberapa projek lain termasuk pembangunan empat infrastruktur utama iaitu Lebuhraya Koridor Utara (NCH) laluan antara Bandar Baharu – Sungai Petani melalui KXP.

"Selain itu, akan dibina akses baharu Lebuhraya Utara – Selatan di Tikam Batu serta kerja menaik taraf laluan keluar masuk Sungai Petani yang sedia ada dan cadangan penjajaran baharu landasan kereta api Tasik Gelugor – Kulim Hi Tech Park – Sungai Petani – Kulim Hi Tech Park," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas memeterai perjanjian usahasama tersebut bersama Kumpulan ECK (ECK) yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Dr Khor Eng Chuen di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Alor Setar.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd berkata, KXP juga dijangka menyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) sebanyak AS$281 juta (RM1.186 bilion) pada 2026.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dalam usaha kerajaan Kedah meningkatkan daya ekonomi rakyat, projek itu juga menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan secara langsung untuk diisi oleh penduduk tempatan.

"Saya yakin apa yang akan jadi berita baik bagi penduduk Kedah dan juga wilayah utara yang lain ialah KXP akan jadi hab penerbangan haji dan umrah khususnya bagi penduduk Utara Semenanjung.

"Dari segi ekonomi, kerajaan negeri optimis KXP mampu menjana peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi negeri Kedah yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus pada masa ini," ujarnya.

Tambahnya, menerusi perjanjian itu, sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) akan ditubuhkan sebagai pemilik dan pemaju projek KXP.

Menurutnya, sebanyak 80 peratus pegangan ekuiti dalam SPV berkenaan dimiliki oleh ECK manakala bakinya dimiliki kerajaan negeri menerusi syarikat subsidiari PKNK, KXP AirportCity.