X

Kindly register in order to view this article
!

PAFA cadang Perak FC rehatkan Yee Fatt

Yee Fatt (kiri) mula mengendali Perak FC pada awal musim ini. - Foto FB Perak FC
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) mencadangkan kepada Perak FC supaya merehatkan ketua jurulatih, Chong Yee Fatt dalam mengharungi baki enam perlawanan Liga Super musim ini susulan prestasi yang tidak memuaskan ketika ini.

Presidennya, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, tindakan itu perlu untuk mencari formula baharu dan mengubah nasib pasukan tersebut yang tidak mustahil akan tersingkir ke saingan Liga Perdana jika terus dilanda badi kekalahan.

"Kita sendiri boleh lihat pencapaian Perak pada ketika ini yang boleh dianggap sebagai pasukan belasahan. Perkara ini kalau dibiarkan berterusan, kemungkinan besar kita akan tersingkir ke Liga Premier.

"Cadangan saya ini juga bukan atas pandangan peribadi saya sendiri sahaja tetapi ia turut diluahkan oleh ramai penyokong bola sepak negeri sama ada secara terus kepada saya atau dalam platform media sosial,” katanya pada Isnin.

Selepas mengharungi 16 perlawanan, Perak FC hanya mengutip 13 mata dan sekadar menghuni tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau berkata, penolong ketua jurulatih, Shahril Nizam Khalil boleh diberikan peluang untuk memangku tugas berkenaan buat sementara memandangkan bekas pemain Perak itu juga mempunyai pengalaman luas bersama The Bos Gaurus sejak 2017.

"Shahril sudah bersama pasukan pada era Karl Heinz Weigang, kemudian Mehmet Durakovic dan Yee Fatt ketika ini.

"Jadi, dengan pengalaman luas yang dia ada, kita boleh bagi peluang pada dia untuk bawa pasukan sementara Yee Fatt direhatkan.

"Mana tahu dengan perubahan ini kedudukan pasukan boleh berubah dan saya fikir bukan satu kerugian kalau kita cuba lakukan perkara ini demi mendapatkan kembali rentak pasukan,” ujarnya.

Mengulas pelantikan bekas Pengurus Perak FC II, Azman Noh ke jawatan Pengurus Besar Perak FC, beliau berharap ia akan memberi impak positif dalam memastikan misi The Bos Gaurus terus kekal dalam Liga Super berjaya direalisasikan.

"Ini satu tugas berat pada beliau. Dengan keadaan pasukan yang agak membimbangkan, beliau perlu buat perubahan drastik dalam kadar segera. Tujuannya untuk pastikan Perak tetap kekal bersaing dalam Liga Super,” jelasnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!