MKT UMNO bermesyuarat secara maya esok

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat khas membabitkan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bakal berlangsung secara maya esok (Selasa) bagi membincangkan isu terkini politik tanah air.


Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan Twitternya pada Isnin.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO akan mengadakan Mesyuarat Khas MKT pada petang esok, 3 Ogos 2021.

“Tentu mesyuarat tergempar ini untuk membincangkan isu politik terkini. Antaranya hal kenyataan media Istana Negara dan warkah Yang di-Pertuan Agong, isu darurat, ordinannya dan penangguhan sidang Parlimen hari ini,” katanya.

Sidang Parlimen pada sesi petang Khamis lalu ditangguhkan beberapa kali, susulan kenyataan Istana Negara, bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan pada 21 Julai lalu yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Selain itu, penangguhan juga dibuat setelah Parlimen dimaklumkan terdapat jangkitan Covid-19 dalam bangunan Parlimen dan kesemua yang hadir diarahkan menjalani ujian saringan.

Kemudian, sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan disambung semula pada Isnin juga ditangguhkan apabila pada Jumaat, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima pemakluman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penangguhan tersebut.

Ia adalah selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu selari dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Berikutan daripada perkembangan itu, ahli-ahli Parlimen pembangkang pula menzahirkan rasa tidak puas hati dan bertindak berarak ke bangunan Parlimen pada Isnin namun cubaan mereka gagal akibat sekatan dilakukan oleh polis.