X

Kindly register in order to view this article
!

8,856 PATI dihantar pulang menerusi Program Rekalibrasi Pulang

Khairil Dzaimee menunjukkan dokumen yang perlu dilengkapkan di kaunter berkenaan.
A
A

SEPANG - Seramai 8,856 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang menerusi kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dibuka sejak 8 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairil Dzaimee Daud berkata, sebanyak 20 lagi kaunter khas dibuka di sini untuk mengelak kesesakan berikutan sambutan yang diterima di luar jangkaan.

"Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad (MAB) telah mengambil langkah segera membina 20 kaunter baharu yang terletak di Parkir Jangka Pendek, Aras 2 Blok B, KLIA.

"Ruang menunggu yang lebih luas dengan kapasiti 800 hingga1000 orang juga disediakan dengan pelbagai kemudahan,” katanya kepada ketika sidang akhbar di sini pada Isnin

Jelasnya, kaunter khas tersebut turut menyediakan kemudahan seperti kios makanan, surau, kipas bersaiz industri dan ruang yang lebih luas untuk menjamin penjarakan sosial dapat dipraktikkan.

Pada masa sama, menurut Khairil, seramai 88,034 PATI sudah dihantar pulang di bawah program Rikalibrasi Pulang sejak dilancarkan pada 21 Disember lalu dengan kutipan kompaun melebihi RM52 juta sehingga 1 Ogos.

Dalam pada itu, menurutnya, untuk mempercepatkan lagi urusan, kaunter khas tersebut akan beroperasi 24 jam dengan kekuatan 140 kakitangan yang akan bertugas dalam tiga waktu tugasan.

Kaunter khas tersebut turut dibuka di Stulang Laut, Johor pada Ahad dan lapan lagi akan dibuka di KLIA2 pada Khamis ini.

"Perancangan seterusnya ialah membuka kaunter di Pasir Gudang Johor, dan Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka beroperasi mulai 15 Ogos ini," katanya.

Menurutnya, majoriti warga asing berkenaan dipercayai tinggal di Malaysia untuk tempoh tiga hingga lima tahun dan bekerja tanpa kebenaran menyebabkan kerajaan kehilangan hasil levi dianggarkan mencecah RM150 juta setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau menggesa majikan yang menggaji PATI supaya mengambil peluang menyertai program Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja sebelum dikenakan tindakan tegas.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!