Operasi Lonjakan Kapasiti rekod 96.7 peratus populasi divaksinasi

Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
 - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Operasi Lonjakan Kapasiti vaksinasi di Lembah Klang yang berakhir pada 1 Ogos telah merekodkan 96.7 peratus daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, golongan dewasa yang telah lengkap dos vaksinasi pula adalah 37.5 peratus.

"Dalam tempoh operasi ini dijalankan pada 26 Julai hingga semalam (Ahad), sebanyak 1, 655,217 janji temu telah dikeluarkan untuk penduduk dewasa di Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK, di sini pada Isnin.

Menurutnya, angka tersebut merupakan satu kejayaan pelaksanaan operasi tersebut.

"Baki populasi yang belum mendapat vaksinasi akan diselesaikan pada awal minggu Ogos," katanya. Beliau berkata, golongan yang tercicir daripada vaksinasi akan diberi tumpuan menerusi dua kaedah iaitu walk-in dan program jangkauan (outreach programme).

"Bermula jam 2 petang hari ini, individu yang berumur 40 tahun ke atas belum mendapat janji temu dan mempunyai komorbiditi boleh hadir ke sembilan PPV untuk dapatkan vaksin," katanya.

Khairy berkata, bagi memudahkan kawalan orang ramai, inisiatif walk-in tersebut hanya untuk penduduk yang bermastautin di Lembah Klang.

"Inisiatif ini berlandaskan kepada sasaran dan keperluan untuk melindungi penduduk di sini yang menjadi pusat penularan wabak Covid-19 ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, program jangkauan akan bergerak ke kawasan pinggir Lembah Klang dengan menyasarkan penduduk yang belum berdaftar atau membatalkan janji temu.

"Kedua-dua kaedah ini hanya melibatkan pemberian vaksin untuk dos pertama dan tidak membabitkan individu yang ingin mendapatkan dos kedua.

"Tarikh janji temu dos kedua akan diberikan mengikut sela masa dari tarikh dos pertama masing-masing," katanya.