Lima tan durian untuk petugas barisan hadapan

Razman (kiri) menunjukkan sebahagian daripada satu tan durian yang diagihkan untuk petugas barisan hadapan di PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Isnin.
Razman (kiri) menunjukkan sebahagian daripada satu tan durian yang diagihkan untuk petugas barisan hadapan di PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak menyediakan sebanyak lima tan durian untuk diagihkan secara percuma kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, pemberian durian tersebut sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau berkata, pemberian itu juga merupakan inisiatif kerajaan negeri menerusi Pejabat Exco Kerajaan Negeri yang membeli durian daripada pemilik dusun bagi membantu mereka kerana tidak dapat memasarkan buah berkenaan semasa tempoh pandemik.

"Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membeli durian daripada orang kampung supaya tidak membazir begitu sahaja. Jadi, kita beli dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan bantu jual. Kalau tak boleh jual, kita agihkan seperti ini.

"Untuk akan datang, ada lagi durian akan diagihkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak lima tan. Kita akan edarkan ke kawasan yang tidak mempunyai pokok durian seperti Bagan Datuk, Teluk Intan dan Ipoh bagi orang merasa durian musim ini," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan durian kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini pada Isnin.

Razman berkata, antara lokasi pengagihan durian tersebut adalah di kawasan sekatan jalan raya (SJR), PPV dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Menurutnya, dalam pengagihan durian pada Isnin, sebanyak satu tan telah diagihkan melibatkan lebih 300 petugas di tiga SJR sekitar Ipoh dan PPV Stadium Indera Mulia.

Pada minggu hadapan, katanya, sebanyak satu tan durian lagi akan diagihkan untuk petugas di PKRC.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Razman berkata, keperluan air bagi tujuan pertanian di negeri ini masih mencukupi dalam tempoh cuaca panas yang sedang dialami negara ketika ini.

"Setakat ini belum ada rungutan dan keperluan air untuk pertanian terkawal. Kebetulan air untuk padi ketika musim menuai ini adalah tidak perlu. Mungkin sebulan dua lagi kita perlukan air untuk menanam.

"Jadi cuaca panas ketika ini tidak menjejaskan petani dan hasil pertanian kerana keperluan air terkawal," jelas beliau.

Beliau bagaimanapun mengakui paras air di Tasik Bukit Merah untuk kegunaan pertanian di sekitar daerah Kerian mengalami penurunan.

Walaupun begitu, katanya, tasik berkenaan masih mampu membekalkan air secukupnya untuk tujuan pertanian di daerah tersebut.

Malah, Razman yakin Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah pun mempunyai perancangan tersendiri untuk kegiatan pertanian di kawasan terbabit.