Pejabat Pelaburan Digital selaras pelaburan

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Platform dalam talian rasmi, Pejabat Pelaburan Digital (DIO) yang dilancarkan pada Isnin akan berperanan penting untuk Malaysia dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, khususnya berkaitan pendigitalan dari dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pejabat itu akan bertindak sebagai jendela tunggal untuk menyelaras dan melancarkan semua pelaburan digital asing dan domestik dalam negara.

Beliau berkata, aspek itu termasuk minat pelaburan digital yang dicapai semua agensi penggalakan pelaburan lain di Malaysia.

“Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan penubuhan DIO yang akan berperanan penting dalam menarik pelaburan digital.

“DIO merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada pelancaran platform dalam talian rasmi DIO secara maya pada Isnin.

Beliau menggesa pelabur terutama pelabur asing supaya terus memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam usaha pengembangan operasi mereka di Asia.

Mustapa memberitahu, skop DIO meliputi empat bidang iaitu, penyelarasan, penilaian, pemudahan dan sokongan dasar.

“Fungsi utama DIO adalah menilai minat pelaburan digital serta memberi saranan nilai yang sesuai kepada pelabur. Selain itu, DIO turut menyokong pemudahan pelaburan menyeluruh seperti proses sebelum dan selepas kelulusan, termasuk pemudahan bagi ekspatriat dan bakat digital,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penubuhan DIO adalah dalam usaha menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan pada Februari 2021 dengan matlamat khusus memperoleh pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025 selain melonjakkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia daripada 19.1 peratus kepada 22.6 peratus.

Beliau berkata, platform dalam talian DIO baharu ini akan menyediakan pendekatan cekap dalam mempertimbangkan cadangan pelaburan untuk pelabur dan dengan proses permohonan terlaras, ia juga akan membolehkan pelabur mendapat maklum balas pantas daripada pegawai yang bertanggungjawab di DIO.

“Sebelum ini, pelabur perlu menggunakan banyak saluran, termasuk menerusi agensi penggalakan pelaburan lain yang kerap kali menimbulkan kekeliruan dan potensi kehilangan minat pelaburan digital.

“Kerajaan dan agensi seperti MIDA dan MDEC menyedari mengenai keperluan untuk bertindak pantas. Kami terus giat berusaha untuk memastikan kami dapat mengekalkan serta mempertingkatkan aliran masuk pelaburan digital berkualiti yang besar dan stabil,” katanya.

Beliau yakin semua program, dasar dan usaha yang kerajaan dan seluruh agensi lakukan, seperti DIO, akan meningkatkan pelaburan dan akhirnya memacu negara ke hadapan.

Mustapa turut mengulangi bahawa kerajaan dan semua agensi seperti MDEC akan terus mencipta dan mengembangkan ekosistem kondusif yang perlu untuk menarik pelaburan.

Beliau berkata, untuk memacu penerimagunaan digital dan teknologi dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi kerajaan memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara baru-baru ini.

"Selain itu, platform seperti Bulan Teknologi Malaysia 2021 akan menyokong lagi dan menjadikan Malaysia sebagai nadi Digital ASEAN," katanya.

Tambah beliau, ketika Malaysia menumpukan usaha menarik pelaburan digital berkualiti bagi mengembangkan ekonomi, kerajaan juga terus menekankan peranan pendigitalan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Bagi merealisasikannya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan meneruskan rancangan serta melancarkan beberapa inisiatif untuk menambah baik kebajikan rakyat," katanya. -Bernama